Revenue Monster tawar perkhidmatan eB2B kepada peniaga menerusi kerjasama dengan Nestle | DagangNews Skip to main content

Revenue Monster tawar perkhidmatan eB2B kepada peniaga menerusi kerjasama dengan Nestle

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR


KUALA LUMPUR 4 Jan - Revenue Monster Group berjaya membentuk jalinan kerjasama strategik jangka panjang bersama Nestle bagi menawarkan perkhidmatan perniagaan ke perniagaan secara dalam talian (eB2B) kepada peniaga.

 

Kerjasama itu akan memberi manfaat kepada lebih 9,000 peniaga di platform Revenue Monster, membolehkan peniaga dan pengendali perkhidmatan makanan mendapatkan produk Nestle seperti Milo, Nescafe dan Maggi.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Kar Aik berkata, kerjasama itu adalah selaras dengan usaha pendemokrasian digital, dengan menggunakan tekologi yang direka untuk memberi manfaat kepada orang lain.

 

Beliau berkata, pihaknya membuka lalauan baharu kepada peniaga Malaysia bagi mendapatkan akses yang lebih mudah ke platform maya Revenue Monster yang direka khusus untuk perniagaan perkhidmatan makanan, memupuk ekosistem yang merangkumi penghantaran tanpa sentuhan dan perolehan bahan dan bekalan masakan.

 

"Dengan matlamat untuk meluaskan kemudahan dan fleksibiliti pembelian dalam talian kepada pengendali perkhidmatan makanan, eB2B Marketplace menghubungkan pedagang dan rakan kongsi Revenue Monster bersama-sama, memberikan mereka peluang untuk pertumbuhan jenama dan legasi melalui platform digital," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Nestle Professional, Yit Woon Lai berkata, pelanggan sentiasa meminta akses yang cepat dan mudah bagi produk yang disediakan dan atas dasar itu pihaknya menjalinkan kerjasama dengan Reveue Monter.

 

“Dengan perkongsian ini, kami terus mengorak langkah ke hadapan dalam evolusi pengalaman e-dagang pelanggan dan cita-cita transformasi digital kami,” tambahnya.

 

Revenue Monster akan terus menyediakan inovasi terkini bagi meletakkan kumpulan sebagai peneraju utama dalam industri selain membantu lebih banyak perniagaan memacu tranformasi digital mereka. - DagangNews.com