REVOLUTIoNT beri tumpuan meningkatkan penyelasaian menyeluruh melalui teknologi nano, IoNT | DagangNews Skip to main content

REVOLUTIoNT beri tumpuan meningkatkan penyelasaian menyeluruh melalui teknologi nano, IoNT

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Nov - NanoMalaysia Berhad (NMB) melancarkan REVOLUTIoNT yang memberi tumpuan kepada teknologi nano dan pembangunan produk serta Internet Benda Nano (IoNT) bagi meningkatkan penyelesaian dalam pelbagai industri.

 

Ia juga merupakan inisiatif di bawah Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara yang akan digunakan dalam industri makanan, pertanian, kesejahteraan, perubatan dan penjagaan kesihatan, peranti dan sistem elektronik, tenaga serta alam sekitar, seterusnya menyediakan platform untuk inovasi karbon rendah.

 

Usaha ini akan membawa kepada penyatuan teknologi bagi menghasilkan ekosistem IoNT yang kohesif dan meningkatkan penyelesaian yang dikuasai teknologi nano sejajar dengan matlamat pembangunan mapan bagi mengembangkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia. 

 

Matlamat program ini adalah untuk membangunkan 41 Harta Intelek (IP) yang dipacu oleh pasaran dan mewujudkan atau membantu sehingga 50 buah syarikat tempatan menerusi teknologi dalam usaha meneroka peluang pasaran baharu dalam tempoh lima tahun. 

 

“Kerajaan menyokong sepenuhnya Dasar 4IR Negara dengan NanoMalaysia Berhad sebagai salah satu pelaksana bagi memastikan PKS Malaysia kekal berdaya saing dalam menghadapi teknologi dan inovasi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR). 

 

"Pandemik yang berlaku telah memberi kesan kepada ekonomi kita tetapi 4IR membawa peluang pasaran yang dianggarkan bernilai RM205.5 bilion pada tahun 2025 dan peningkatan produktiviti sebanyak 30% meliputi semua sektor pada tahun 2030. 

 

"Inisiatif seperti REVOLUTIoNT akan membolehkan kita menggunakan sepenuhnya manfaat dan potensi 4IR," kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr. Adham Baba pada majlis pelancaran REVOLUTIoNT secara maya.

 

NanoMalaysia merupakan agensi utama bagi pengkomersialan dan perindustrian teknologi nano, menerima peruntukan kerajaan di bawah RMK-12 sebanyak RM50 juta bagi tempoh 2021-2025. 

 

Syarikat itu telah mengaktifkan lima projek baharu dan mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi tahun ini.

 

Antaranya termasuk dron dilengkapi IoNT dengan kuasa hidrogen, Inisiatif Kenderaan Berautonomi NanoMalaysia (NAVi), Kereta Lumba Elektrik Bersepadu Hidrogen, Sistem Bekalan Kuasa Tidak Berpusat Grid Nano, skuter elektrik, sistem mengecas tanpa sentuh dan tanpa wayar frekuensi radio (RF) yang selamat, kit Pertanian Bandar Pintar dan produk yang menggunakan grafin. 

 

Antara projek REVOLUTIoNT yang menarik antaranya adalah mengubah bas-bas di Lembah Klang menjadi bas elektrikdan apabila berjaya ia akan diteruskan ke Johor Bahru dan Kuching.

 

“Portfolio teknologi kami akan terus berkembang dengan REVOLUTIoNT dalam usaha kita untuk menerajui menjadi antara penyelesaian baharu yang bakal diperkenalkan termasuklah alat pengesan, peranti komunikasi, penyelesaian storan tenaga yang baharu untuk kenderaan elektrik dan bahan-bahan termaju untuk kegunaan pelbagai sektor. 

 

"Kami percaya ia dapat membantu memulihkan dan mengembangkan landskap PKS untuk mewujudkan 6,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi dalam tempoh lima tahun selain memberi sumbangan langsung kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) RM24 bilion melalui pelaksanaan pasaran sepenuhnya dan kehadiran rantaian bekalan dan nilai menjelang 2025," kata Ketua Pegawai Eksekutif NMB, Dr. Rezal Khairi Ahmad.-DagangNews.com