RGB International catat untung bersih RM2.65 juta bagi 2QFY23 didorong pendapatan lebih tinggi daripada jualan dan pemasaran | DagangNews Skip to main content

RGB International catat untung bersih RM2.65 juta bagi 2QFY23 didorong pendapatan lebih tinggi daripada jualan dan pemasaran

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Ogos - RGB International Bhd mencatatkan untung bersih RM26.5 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (2QFY23), berbanding kerugian bersih RM2.66 juta setahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu berkata, keuntungan itu dipacu oleh pendapatan lebih tinggi daripada bahagian jualan dan pemasarannya (SSM) serta bahagian sokongan dan pengurusan teknikal (TSM).

 

Pakar penyelesaian permainan bersepadu yang berpangkalan di Pulau Pinang itu mencatatkan pendapatan sesaham sebanyak 1.72 sen, berbanding kerugian sesaham sebanyak 0.17 sen pada 2QFY22.

 

Hasil suku tahunan meningkat enam kali ganda kepada RM333.66 juta daripada RM50.33 juta setahun lalu, juga didorong oleh pendapatan yang lebih baik daripada bahagian SSM dan TSM, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Bagi enam bulan terkumpul berakhir 30 Jun 2023 (6MFY23), kumpulan itu melaporkan untung bersih RM37.04 juta berbanding kerugian bersih RM5.97 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

 

Kumpulan itu berkata, industri pelancongan dan hospitaliti dijangka terus pulih, dibantu oleh peningkatan dalam perjalanan antarabangsa terutamanya di kawasan mereka beroperasi.

 

Berdasarkan tinjauan pasaran, kumpulan itu menjangkakan untuk mencapai prestasi kukuh pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, disokong oleh pesanan kukuh yang diperoleh sehingga kini, walaupun menghadapi tekanan inflasi ke atas kos operasinya. - DagangNews.com