RGT catat perolehan RM19.35 juta, gangguan logistik timbulkan kebimbangan | DagangNews Skip to main content

RGT catat perolehan RM19.35 juta, gangguan logistik timbulkan kebimbangan

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 29Nov -  Syarikat pembekal produk penjagaan kebersihan dan penjagaan udara untuk dispenser sabun, sanitizer dan wangian, RGT Berhad mencatatkan perolehan sebanyak RM19.35 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2022 berbanding RM10.95 juta suku keempat tahun kewangan 2021.

 

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, namun begitu, bagi asas tahun ke tahun Kumpulan mencatat hasil lebih lemah sebanyak 54% kerana Kumpulan mempunyai tempahan yang sangat kukuh untuk produk Penjagaan Kebersihan semasa kemuncak pandemik COVID-19. 

 

"Hasil yang lebih perlahan pada suku pertama tahun kewangan 2022 mengakibatkan kejatuhan sebanyak 73% dalam  keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI)  tahun ke tahun.

 

"Bagaimanapun bagi perbandingan suku ke suku, syarikat merekodkan PATAMI sebanyak RM1.13 juta berbanding kerugian RM1.36 juta yang dicatatkan suku sebelumnya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, tempahan untuk produk Penjagaan Udara yang lembap sebelum ini berikutan pandemik telah secara beransur-ansur pulih dan semakin meningkat. 

 

Ujarnya, berbanding dengan Pra-COVID-19, wabak ini telah mendorong keperluan untuk kebersihan yang lebih baik dan pihaknya menjangkakan permintaan akan kembali. 

 

"Oleh itu, kami mengharapkan permintaan yang mampan untuk produk kami.

 

"Walau bagaimanapun, ketidakpastian yang timbul daripada gangguan logistik global yang berterusan agak membimbangkan berikutan sebilangan besar pelabuhan dan gudang kekal sesak apabila jumlah akhir tahun meningkat. 

 

"Ini boleh mengganggu jadual penghantaran kepada pelanggan kami dalam beberapa bulan akan datang. Sesetengah pesanan malah boleh ditangguhkan ke suku lain, seperti yang dialami pada suku sebelumnya," jelasnya. 

 

Dari segi kewangan, kunci kira-kira Kumpulan kekal berdaya tahan dengan mengakhiri suku pertama tahun kewangan 2022 dengan aliran tunai yang kukuh sebanyak RM39.40 juta. -DagangNews.com