RHB Bank dilihat berpeluang 'menang' lesen bank digital, ramal penganalisis | DagangNews Skip to main content

RHB Bank dilihat berpeluang 'menang' lesen bank digital, ramal penganalisis

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 29 Dis - Sektor perbankan pada 2022 dilihat menarik terutama dengan penyertaan perbankan digital yang akan diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam tempoh suku pertama.

 

Pada Julai lalu, bank pusat itu telah menerima 29 permohonan untuk mendapatkan lesen bank digital setelah tempoh permohonan selama 6 bulan berakhir pada 30 Jun 2021.

 

Ia menyaksikan pelbagai pihak mengemukakan permohonan termasuk bank, konglomerat industri, firma teknologi, penyedia perkhidmatan e-dagang, syarikat Fintech, koperasi dan kerajaan negeri.

 

Penganalisis Kenanga Research, Clement Chua berpendapat, BNM dijangka menganugerahkan 5 lesen perbankan ini kepada pemohon yang layak dan memiliki kehadiran kukuh dalam perkhidmatan e-kewangan. 

 

Katanya, dengan kemampuan yang dimiliki itu, ia mampu menawarkan perkhidmatan perbankan digital yang lancar dengan pelaksanaan dipercepatkan. 

 

"Dalam hal ini, kami melihat RHB Bank Bhd. berkemungkinan besar mempunyai peluang memperoleh lesen perbankan digital ini.

 

"Ini kerana ia merupakan satu-satunya bank konvensional yang memohon lesen ini dengan kerjasama Axiata Digital (Boost). 

 

"Meskipun, bank digital tidak mungkin menyumbang kepada pendapatan kumpulan dengan serta-merta, tetapi pendedahannya dapat memberi hasil yang lebih baik apabila landskap semakin matang," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Firma itu mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor perbankan yang akan meraih manfaat daripada keyakinan perniagaan yang lebih positif memandangkan negara akan menjadi sebuah ekonomi yang mencatatkan vaksinasi yang tinggi, yang seterusnya diterjemahkan kepada tahap pembiayaan yang lebih baik.

 

Menurut Chua, bagaimanapun, sentimen jangka pendek dijangka terjejas oleh persaingan tempoh sederhana didorong terutamanya suntikan produk perbankan digital. 

 

Katanya, kemasukan peserta sedemikian boleh meningkatkan persaingan untuk deposit terhadap peserta konvensional.

 

"Meskipun, kami tidak percaya ini akan menjadi ancaman kepada pasaran pinjaman memandangkan sasaran mereka adalah pinjaman mikro dan produk peribadi, tetapi keperluan untuk dana murah (deposit) adalah seragam seperti bank-bank konvensional," jelasnya. 

 

Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan Cukai Makmur seperti diumumkan dalam Bajet 2022 akan memberi tekanan kepada pemulihan pendapatan terutama bank-bank utama yang mencapai paras ambang pendapatan melebihi RM100 juta. 

 

"Anggaran kami menunjukkan ia akan menjejaskan kira-kira RM50 hingga RM800 juta atau 5 hingga 14% daripada anggaran pendapatan," katanya.

 

Chua turut menjangkakan BNM akan meningkatkan kadar dasar semalaman (OPR) pada separuh kedua 2022, setelah kekal pada paras rendah 1.75% sejak Julai 2020. 

 

Pada masa sama, pertumbuhan pinjaman pada tahun hadapan juga diunjur berkembang pada kadar 5%. 

 

Secara keseluruhan, Kenanga Research memilih saham RHB Bank sebagai pilihan utama dengan saranan 'outperform' pada harga sasaran (TP) RM6.50 kerana ia dilihat sebagai bakal pemain segmen bank digital.

 

Selain itu, ia turut menyemak naik penafarafan Alliance Bank Malaysia Bhd. kepada 'outperform' daripada 'market perform' dengan TP RM3.25 memandangkan ia dijangka meraih manfaat daripada pembukaan semula ekonomi dan memiliki gabungan pinjaman perniagaan yang tinggi. - DagangNews.com