RHB Bank, PayNet lancar peranti Dynamic DuitNow QR Soundbox bagi memerangi penipuan pembayaran | DagangNews Skip to main content

RHB Bank, PayNet lancar peranti Dynamic DuitNow QR Soundbox bagi memerangi penipuan pembayaran

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Ogos - RHB Banking Group kerjasama Payments Network Malaysia (PayNet) melancarkan Dynamic DuitNow QR (DNQR) Soundbox dengan pad kekunci sebagai usaha berterusan memerangi penipuan pembayaran.

 

Dynamic DNQR SoundBox merupakan peranti inovatif serbaguna yang menyokong pembayaran QR, membolehkan urus niaga dilaksanakan dengan lancar, mengurangkan risiko kesilapan dan memastikan kecekapan. 

 

Fungsi kalkulator terintegrasi mempercepat proses pembayaran, menjadikannya peranti yang bernilai untuk perniagaan dengan transaksi jumlah besar seperti perniagaan makanan dan minuman (F&B) dan perniagaan runcit.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Perbankan Borong RHB, Datuk Fad’l Mohamed berkata, Dynamic DNQR Soundbox merupakan bukti komitmen mereka bagi melindungi peniaga dan pengguna dalam dunia digital. 

 

"Peringatan suara dan visual secara langsung memberikan keyakinan dan keselamatan, dengan itu mengurangkan risiko yang berkaitan dengan urus niaga tanpa tunai.

 

RHB
Datuk Fad’l Mohamed

 

Didorong oleh populariti peranti DNQR Soundbox, Kumpulan RHB telah mendaftarkan lebih daripada 600 peniaga baru dengan peranti Soundbox. 

 

Dengan ini, ia menyaksikan pertumbuhan eksponensial sebanyak 33%, iaitu daripada lebih daripada 260,000 transaksi DNQR kepada hampir 352,000 dalam tempoh lima bulan dan dari nilai transaksi RM12 juta kepada RM16 juta dalam tempoh yang sama.

 

Beliau berkata, peranti ini adalah antara cara kami merealisasikan visi kumpulan di bawah strategi korporat Bersama-sama Menempa Kemajuan 2024 (TWP24) untuk memupuk pertumbuhan inklusif di seluruh Malaysia. 

 

"Kami beraspirasi untuk menjadi Tiga Bank DuitNow Terbaik di Malaysia menjelang akhir tahun ini dan memperkasakan perniagaan dan pengguna dalam revolusi ekonomi digital," katanya.

 

Fad'l berkata, selaras dengan inisiatif Bank Negara Malaysia untuk mengurangkan risiko penipuan, Kumpulan RHB secara berterusan menginovasikan produknya untuk memenuhi keperluan yang berkembang bagi para pelanggan. 

 

“Kami bertekad untuk memberdayakan perniagaan, terutamanya perniagaan mikro, kecil, dan sederhana (PKS), dengan peranti yang melindungi mereka daripada penipuan pembayaran. 

 

"Bermula dengan PKS di kawasan pinggiran dan diperluas ke perniagaan transaksi besar seperti peniagaan makanan dan minuman serta peniagaan runcit, kami akan terus berusaha untuk meningkatkan penggunaan pembayaran tanpa tunai dan menyumbang kepada ekonomi digital Malaysia,” katanya. - DagangNews.com