RHB IB mulakan liputan ke atas Johor Plantations Group dengan saranan 'Beli', TP RM1.20 sesaham | DagangNews Skip to main content

RHB IB mulakan liputan ke atas Johor Plantations Group dengan saranan 'Beli', TP RM1.20 sesaham

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 6 Sept - RHB Investment Bank memulakan liputan Johor Plantations Group Berhad (JPG) dengan saranan 'Beli' pada harga sasaran (TP) RM1.20 sesaham.

 

Menurut firma penyelidikan itu, JPG menawarkan potensi kenaikan 24%, dengan hasil tahun kewangan 2024 (FY24) kira-kira 5%. 

 

Katanya, kumpulan itu mempunyai tanah yang tertumpu di Semenanjung Malaysia dengan profil umur pokok yang menguntungkan dan kredibiliti ESG yang kukuh sebagai faktor pembeza Utama.

 

"Ini menjadikannya statistik operasi yang lebih baik, harga premium, dan pengurusan tanah yang lebih efisien. 

 

"Dengan rancangan termasuk meneroka produk hiliran khusus, JPG mungkin akan berubah menjadi pemain terintegrasi sepenuhnya dan mencapai CAGR pendapatan yang baik sebanyak 8% dalam tempoh 3 tahun," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut RHB Investment, pengembangan segmen hiliran adalah pendorong pertumbuhan kepada Johor Plantations melibatkan pembinaan kompleks minyak sawit terintegrasi yang dijangka siap pada suku kedua 2026.

 

"Ia akan menjadi pendorong pertumbuhan seterusnya, terutamanya dengan kerjasama JV bersama Fuji Oil Asia, yang dijangka menghasilkan margin hiliran yang lebih baik berbanding pesaing," jelasnya.

 

Tambah firma penyelidikan itu, dengan 59,860 hektar tanah yang tertumpu di Semenanjung Malaysia, JPG tidak akan menghadapi risiko pengawalseliaan berkaitan dengan isu pemilikan atau sewaan tanah. 

 

Selain itu, kata RHB Investment,  pengurusan tanahnya lebih efisien, memandangkan penumpuan di satu negeri. 

 

"JPG juga akan mendapat manfaat daripada harga purata jualan (ASP) minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi berbanding kebanyakan pesaingnya yang mempunyai tanah di Indonesia, disebabkan oleh cukai dan levi yang tinggi di negara tersebut," ujarnya.

 

RHB IB berkata, semua ladang dan kilang minyak sawit JPG telah disahkan menerima pengiktirafan kemampanan RSPO serta MSPO dan telah dianugerahkan status Pensijilan Kelestarian dan Karbon Antarabangsa (ISCC). 

 

"Kesemua kilang kecuali satu mempunyai status Identity Preserved (IP), yang bermaksud mereka menghasilkan minyak sawit lestari yang sepenuhnya dan boleh dijejak. 

 

"Oleh itu, JPG telah dapat menetapkan harga produk mereka pada premium. Mereka mempunyai premium ASP sebanyak 2-10% untuk MSM dan isirong sawit berbanding harga purata MPOB sepanjang empat tahun lepas. 

 

"Kami percaya Johor Plantions seharusnya dapat mengekalkan premium harga ini, memandangkan kredibiliti ESG yang kukuh," katanya. - DagangNews.com