RHB IB semak turun unjuran inflasi kepada 2.6% susulan kelewatan penyasaran subsidi petrol RON95 | DagangNews Skip to main content

RHB IB semak turun unjuran inflasi kepada 2.6% susulan kelewatan penyasaran subsidi petrol RON95

Unujuran inflasi melebihi 3% sebelum ini dibuat dengan jangkaan penyasaran subsidi petrol RON95 berlaku pada pertengahan tahun.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 25 Jun - RHB Investment Bank menyemak turun unjuran inflasi Malaysia 2024 daripada 3.3% sebelum ini kepada 2.6% yang antaranya disebabkan kelewatan dalam pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, semakan ini juga dibuat susulan kesan langsung yang kecil daripada penyasaran subsidi diesel terhadap inflasi utama.

 

"Kelewatan dalam pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol RON95 (bekemungkinan) hingga akhir 2024 bertentangan dengan pandangan kami sebelum ini yang menjangkakan ia akan dimulakan pada pertengahan tahun ini," katanya dalam nota penyelidikan hari ni.

 

Jelas RHB Investment, penyasaran subsidi petrol RON95 mungkin akan ditangguhkan sehingga akhir 2024 (paling awal), dengan lebih banyak butiran akan diumumkan semasa pembentangan Bajet 2025 pada 11 Oktober. 

 

Kata firma itu, kerajaan mungkin akan menilai kesan lewat penyesuaian harga diesel terhadap trend inflasi dan ekonomi sebelum melaksanakan penyesuaian subsidi petrol RON95.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan yakin kadar inflasi, KDNK 2024 kekal seperti diunjurkan - Amir Hamzah

 

"Berdasarkan anggaran kami, setiap kenaikan 1% dalam harga runcit RON95 akan mempunyai kenaikan 0.05% dalam inflasi utama, membayangkan bahawa apungan petrol RON95 mungkin mempunyai potensi kenaikan inflasi sebanyak 3.05% (berdasarkan harga petrol RON95 yang tidak disubsidi sebanyak RM3. 30/liter pada 19 Jun berbanding harga runcit semasa RM2.05/liter).

 

"Kami melihat bahawa penyasaran semula rasionalisasi subsidi RON95 mungkin mengambil bentuk dalam pendekatan yang lebih beransur-ansur, kerana ia melibatkan asas pengguna yang lebih besar dengan wajaran ketara sebanyak 5.5% dalam bakul Indeks Harga Pengguna (IHP) (berbanding diesel pada 0.2%)," jelasnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Inflasi Malaysia meningkat 2.0% pada Mei 2024, kenaikan pertama sejak Feb 2024 - DOSM

 

Dalam pada itu, RHB Investment Bank bekata, trajektori inflasi pada masa hadapan akan bergantung kepada: (1) kesan semakan cukai perkhidmatan dan pelaksanaan Cukai Barang Bernilai Rendah (LVGT), (2) garis masa rasionalisasi subsidi RON95 dan kuantumnya, (3) potensi peningkatan permintaan daripada sebahagian pengeluaran dana pencen dan (4) kesan limpahan daripada harga komoditi dan makanan global yang lebih tinggi.

 

Mengenai IHP Mei 2024, firma penyelidikan itu berkata, inflasi Malaysia meningkat lebih tinggi kepada 2.0% YoY (April: 1.8% YoY) berbanding Konsensus Bloomberg sebanyak 1.9% YoY dan unjuran dalaman sebanyak 2.0% YoY.

 

"Momentum inflasi teras terus menunjukkan peningkatan untuk bulan ini, didorong oleh kenaikan kos utiliti. 

 

"Berdasarkan pengiraan MoM SA, kedua-dua inflasi keseluruhan dan inflasi teras meningkat sebanyak 0.3%, masing-masing berbanding bulan sebelumnya," ujarnya. - DagangNews.com