RHB Investment Bank pertingkat proses usaha wajar selepas didenda Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

RHB Investment Bank pertingkat proses usaha wajar selepas didenda Bursa Malaysia

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Sept - RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) memandang serius pelanggaran keperluan penyenaraian dan telah menyemak serta mempertingkatkan proses usaha wajar, termasuk proses semakan pelanggan agar lebih mantap.

 

Bank itu mengeluarkan satu kenyataan hari ini ekoran teguran dan denda daripada Bursa Malaysia Securities Bhd akibat pelanggaran dua keperluan penyenaraian yang menyebabkan penolakan cadangan tawaran awam permulaan (IPO) pemohon Pasaran ACE yang mana ia adalah penaja dan penasihat utama.

 

 

BACA JUGA: Bursa Malaysia tegur, denda RM350,000 terhadap RHB Investment Bank akibat langgar keperluan penyenaraian Pasaran ACE

 

 

“Kami juga bekerjasama dengan penasihat luar bagi memastikan RHB IB terus menyelaraskan proses dan prosedur usaha wajar kami kepada amalan terbaik pasaran.

 

“Peningkatan proses dan prosedur usaha wajar, ditambah dengan komitmen dan kerjasama padu daripada pelanggan kami dan semua pihak lain yang terlibat akan meningkatkan lagi kualiti dan standard usaha wajar,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB IB, Ganesh Sabaratnam.

 

Beliau menzahirkan komitmen bank pelaburan tersebut yang akan terus melaksanakan tahap usaha wajar lebih tinggi dan pematuhan kepada keperluan kawal selia dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

 

 

Ganesh Sabaratnam
Ganesh Sabaratnam

 

 

Dalam teguran Bursa Malaysia semalam, RHB IB telah ditegur dan didenda RM350,000 akibat melanggar keperluan penyenaraian Pasaran ACE.

 

Bursa itu juga turut menekankan bahawa ia bukan kali pertama RHB IB melanggar syarat penyenaraian.

 

Jelasnya, teguran awam dan denda terhadap RHB IB dibuat selepas mengambil kira semua fakta dan keadaan perkara tersebut, termasuk tahap pelanggaran, peranan dan tanggungjawab RHB IB sebagai penaja dan penasihat utama, dan hakikat bahawa RHB IB sebelum ini telah melanggar syarat penyenaraian.

 

Di samping teguran dan denda, RHB IB telah ditugaskan untuk membentangkan keputusan Bursa Securities kepada lembaga pengarahnya dan menjalankan semakan dan penilaian komprehensif mengenai kecukupan dan keberkesanan dasar, proses dan prosedur dalamannya berhubung dengan peranannya sebagai penasihat/penaja. - DagangNews.com