RHB Investment beri nilai wajar 33 sen kepada YX Precious Metals, lebih tinggi daripada harga IPO | DagangNews Skip to main content

RHB Investment beri nilai wajar 33 sen kepada YX Precious Metals, lebih tinggi daripada harga IPO

Anak syarikat milik Tomei Consolidated Bhd. itu dijangka disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 23 Jun 2022. - Gambar : Facebook Tomei
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Jun - RHB Investment Bank memberi nilai wajar pada 33 sen sesaham terhadap YX Precious Metals Bhd. (YXPM), 18% lebih tinggi daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) iaitu 28 sen sesaham. 

 

Anak syarikat milik 100% Tomei Consolidated Bhd. itu dijangka disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 23 Jun 2022.

 

Menurut firma itu, YXPM merancang untuk mempunyai jentera dan peralatan baharu bagi mengembangkan rangkaian barang kemas emasnya, iaitu rantai emas berongga, loket emas berongga, azimat dan anting-anting menggunakan kaedah pembentukan elektro.

 

Katanya, barang kemas emas berongga mampu milik dan bergaya membolehkan kumpulan menyasarkan segmen mampu milik berikutan kenaikan harga emas dan peningkatan permintaan pengguna terhadap barang kemas emas berongga atau ringan.

 

"Sebagai pusat sehenti bekalan yang menawarkan pilihan kepada pelanggan untuk membeli dalam kuantiti yang kecil, dan dengan pelbagai reka bentuk, kami percaya ini memberi kelebihan kepada YXPM berbanding pemain lain, sekali gus membantu meningkatkan bahagian pasaran.

 

"Sehubungan itu, secara keseluruhan, kami menganggarkan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 16% bagi hasil tahun kewangan 2021 (FY21) hingga FY24," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Baca : YX Precious Metals dijangka disenaraikan di Pasaran ACE, akhir Jun ini

 

Pemborong dan pengilang barang kemas (emas) itu merancang mengumpul hasil sebanyak RM31.26 juta daripada pelaksanaan IPO bagi membiayai rancangan pengembangannya.

 

Daripada jumlah hasil itu, 22.07% atau RM6.90 juta telah diperuntukkan untuk pembelian mesin dan peralatan baharu serta menaik taraf kemudahan operasi, manakala 66.73% atau RM20.86 juta diperuntukkan untuk keperluan modal kerja.

 

Sementara itu, baki 11.2% atau RM3.5 juta akan digunakan untuk membayar perbelanjaan penyenaraian.

 

Menurut RHB Investment berkata, kumpulan merancang untuk meningkatkan automasi dalam usahanya menambah baik kecekapan, mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual dan meningkatkan tempoh output kira-kira 39%.

 

"Selain itu, migrasi kepada sistem perancangan sumber perusahaan (ERP) baharu dan sistem pelaksanaan pembuatan (MES) menjelang suku keempat 2022 akan membantu menyelaras dan mengintegrasikan perniagaan pemborong dan pembuatan serta operasi, sekali gus meningkatkan proses membuat keputusan," tambahnya.

 

Firma itu menganggarkan keuntungan bersih YXPM bagi FY22 hingga FY24 sebanyak RM8 hingga RM11.1 juta berdasarkan harga emas pada RM258 per gram bagi FY22, sebelum menyederhana kepada RM239 hingga RM240 per gram bagi FY23-FY24. 

 

Prestasi lebih baik ini, katanya, disokong permintaan yang kekal kukuh dengan pembukaan semula ekonomi dan aktiviti sosial, pengembangan pelbagai jenis produk dan kemudahan operasi. 

 

"Memandangkan volum adalah kunci utama kepada pertumbuhan, kami menganggarkan volum FY21-FY24 CAGR sebanyak 3.5%, yang kami anggap sebagai menggalakkan, memandangkan asas yang tinggi pada FY21.

 

"Unjuran ini adalah berdasarkan kepada faktor tiadanya kelewatan ketara yang disebabkan sekatan pergerakan atau gangguan dalam operasi perniagaan," jelasnya.

 

Bagi langkah IPO tersebut, Public Investment Bank merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal.

 

IPO itu menyaksikan 111.65 juta saham biasa baharu diterbitkan dengan Public Investment Bank bersetuju menaja jamin sebanyak 48.38 juta saham. - DagangNews.com