RHB Investment kekal berhati-hati terhadap prospek REIT kesan saingan sengit sektor runcit | DagangNews Skip to main content

RHB Investment kekal berhati-hati terhadap prospek REIT kesan saingan sengit sektor runcit

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 April - RHB Investment kekal berhati-hati terhadap prospek Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) kesan persaingan sengit dalam sektor runcit dan pertumbuhan sederhana dalam perbelanjaan disebabkan kos sara hidup yang lebih tinggi.

 

Firma penyelidikan itu memilih REIT yang memberikan hasil yang lebih tinggi dengan prospek pendapatan yang lebih stabil.

 

Katanya, dengan kadar penghunian yang stabil, pertumbuhan pendapatan REIT runcit kebanyak bergantung kepada kadar sewaan yang seharusnya kembali normal kepada pertumbuhan dua digit seperti yang direkodkan pada FY23.

 

"Selain daripada asas yang tinggi, kos sara hidup juga menjadi kebimbangan utama untuk perbelanjaan runcit.

 

"Bagi jangka panjang, kami kekal berhati-hati terhadap kenaikan sewa berikutan pembukaan pusat beli-belah baharu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

RHB Investment berkata, pemulihan sektor pelancongan akan merangsang perbelanjaan runcit khususnya untuk pusat beli-belah seperti Suria KLCC dan Pavilion Kuala Lumpur yang lazimnya mempunyai kadar pembeli antarabangsa yang tinggi.

 

Katanya, penangguhan pelaksanaan cukai barang bernilai tinggi (HVGT) seharusnya memberikan kelegaan sementara kepada kedua-dua pusat beli-belah itu.

 

"Bagaimanapun bagi Pavilion REIT, kami berhati-hati terhadap prestasi Pavilion Bukit Jalil yang seharusnya merekodkan kadar sewa yang lebih tinggi pada suku keempat 2023 apabila memasuki kitaran sewaan baharu.

 

"Pembayaran baki kepada pusat beli-belah itu dilihat akan mengurangkan pertumbuhan pendapatan mereka pada FY25," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menyukai IGB REIT kerana prospek pendapatannya yang kukuh disokong kadar penghunian penuh dan kedudukan pusat beli-belahnya yang strategik.

 

"Kami menjangkakan pemerolehan Mid Valley Southkey akan menjadi pemangkin baharu untuk REIT dan mudah dibiayai kerana nisbah penggearannya hanya 22%," katanya.

 

RHB Investment mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu.- DagangNews.com