RHB Investment kekal 'neutral', larangan eksport Indonesia hanya untuk produk olein sawit RBD | DagangNews Skip to main content

RHB Investment kekal 'neutral', larangan eksport Indonesia hanya untuk produk olein sawit RBD

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 April - RHB Investment Research kekal 'neutral' terhadap sektor perladangan selepas mengambil kira larangan eksport produk sawit Indonesia hanya terhad kepada olein sawit yang ditapis, diluntur dan dinyahbau (RBD).

 

Firma itu berkata, bagaimanapun Indonesia masih membenarkan pemain industri mereka untuk mengeksport minyak sawit mentah (MSM).

 

"Tindakan itu dijangka membuatkan lebih ramai pemain industri di Indonesia mencari jalan mengeksport lebih banyak MSM dan minyak sawit RBD atau mengeksport ke Malaysia untuk ditapis dan kemudian dieksport semula," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Larangan eksport yang ditetapkan kerajaan Indonesia bermula 28 April 2022 hanya melibatkan olein sawit RBD dan bukan MSM atau lain-lain produk.

 

Pada 2021, jumlah eksport untuk olein sawit RBD adalah 12.7 juta tan dan bagi tempoh Januari hingga Mac 2022 hanya 1.5 juta tan.

 

Firma itu berkata, pemantauan rapi akan dijalankan bagi memastikan bahan mentah untuk olein sawit RBD bagi memastikan bekalannya sentiasa ada.

 

"Bagaimanapun, larangan eksport itu boleh dikenakan terhadap produk lain sekiranya berlaku kekurangan bekalan," katanya.

 

Firma itu berkata, dengan penurunan harga saham syarikat Indonesia dan Singapura semalam, berkemungkinan akan berlaku lonjakan semula selepas mengambil kira situasi semasa.

 

"Kami melihat terdapat peluang 'beli' terhadap kelemahan syarikat Indonesia selepas melihat perkembangan semasa yang berlaku," katanya. - DagangNews.com