KUALA LUMPUR 8 Jan - RHB Investment mengekalkan saranan 'beli' terhadap Sunway Berhad kerana ia menawarkan harga kemasukan dagangan yang lebih rendah menjelang penyenaraian Sunway Healthcare Group di pasaran Bursa Malaysia.
Katanya, berdasarkan perjanjian pemegang saham antara dana Singapura, GIC Pte. Ltd., tawaran awam permulaan (IPO) bagi Sunway Healthcare Group akan dilaksanakan sebelum Oktober 2027.
"Prestasi kukuh semua hospital mungkin membantu mempercepatkan masa penyenaraian, dengan anggaran nilai Sunway Healthcare berjumlah RM9 bilion.
"Sama seperti penyenaraian Sunway Construction lapan tahun lalu, pelabur dijangka mendapat ganjaran yang sewajarnya daripada pembelian saham yang memberi peluang untuk meraih nilai lebih tinggi syarikat penjagaan kesihatan itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Mereka turut menaikkan harga sasaran (TP) Sunway kepada RM3 berbanding RM2.65 sesaham.
Penanda aras terhadap penilaian pelupusan Ramsay Sime Darby Healthcare pada November tahun lepas, firma penyelidikan itu berkata, nilai perusahaan (EV) Sunway Healthcare mungkin berpotensi bernilai RM9 bilion berdasarkan 20.1 kali EV/pendapatan yang sama sebelum susut nilai dan pelunasan cukai faedah (EBITDA) berganda dan ramalan ebitda tahun kewangan 2024 (FY24F) sebanyak RM450 juta.
Menjelang penyenaraian berpotensi antara FY25 hingga FY26, Sunway Healthcare mungkin mempunyai permodalan pasaran RM10 bilion hingga RM12 bilion.
Sunway, yang kini mempunyai permodalan pasaran kira-kira RM12 bilion mempunyai 84% kepentingan dalam kumpulan itu.
RHB Investment menyemak naik pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) Sunway Healthcare untuk 2024 sebanyak 90% dengan prestasi hospital baharu, terutamanya Sunway Medical Centre (SMC) Seberang Jaya dilihat lebih baik berbanding jangkaan
Hospital yang dibuka pada November 2022 itu telah mencatatkan EBITDA positif sejak suku kedua 2023.
"Kami menjangka hospital ini akan menjana keuntungan sebelum cukai bermula 2024. Menurut rancangan pengembangan oleh Sunway Healthcare Group, ia mungkin akan dilengkapi sebanyak 2,500 katil menjelang 2027 daripada sejumlah 1,100 katil sekarang," katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, selepas melucutkan penilaian semua entiti tersenarai serta nilai anggaran untuk Sunway Healthcare, bahagian lain Sunway hanya bernilai RM1.8 bilion.
"Ini sangat rendah nilainya, memandangkan hartanah pelaburan yang tidak dimiliki oleh amanah pelaburan hartanah (REIT) sudah mempunyai nilai buku berjumlah RM2.6 bilion.
"Sunway memiliki bank tanah strategik di Velocity, South Quay, serta 716.3 hektar di Iskandar Malaysia berhampiran Tuas Link," katanya. - DagangNews.com