RHB Investment menilai saham Kucingko yang bakal disenaraikan di Bursa Malaysia pada 44 sen | DagangNews Skip to main content

RHB Investment menilai saham Kucingko yang bakal disenaraikan di Bursa Malaysia pada 44 sen

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Julai - RHB Investment memberi harga wajar 44 sen terhadap Kucingko Bhd yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Saranan itu adalah berdasarkan kepada nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 18x daripada pendapatan sesahamnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

 

Firma penyelidikan itu mengunjurkan pendapatan teras tahunan terkompaun (CAGR) tiga tahun sebanyak 18.3% disokong oleh rancangan pengembangan stratgeik kumpulan, penubuhan pejabat jualan di Amerika Syarikat (AS) dan peningkatan permintaan dalam industri perkhidmatan animasi.

 

Katanya, kumpulan itu bersedia untuk menerima manfaat daripada perkembangan video penstriman seperti YouTube, Netflix, Amazon Prime Video, Disney+ dan HBO Max.

 

"Pengembangan dalam pengedaran kandungan digital ini dijangka meningkatkan lagi permintaan terhadap perkhidmatan animasi 2D Kucingko.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kucingko sasar kumpul RM30 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

 

"Selain menghasilkan kerja berkualiti, kecekapan Kucingko dalam Bahasa Inggeris, sebagai sebuah syarikat Malaysia di negara berbilang budaya, mengurangkan isu komunikasi.

 

"Ini memberikan Kucingko kelebihan berbanding pesaingnya dari Korea dan Thailand di mana penggunaan Bahasa Inggeris kurang meluas," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

RHB Investment berkata, memandangkan kebanyakan pelanggan dari Amerika Utara, penubuhan pejabat jualan di AS membolehkan kumpulan itu memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan sedia ada dan menjangkau kumpulan pelanggan baharu.

 

Katanya, kumpulan itu akan memperuntukkan 40% daripada hasil tawaran awam permulaan (IPO) bagi menubuhkan dua pejabat, masing-masing di Sabah dan Sarawak.

 

"Ini akan membolehkan Kucingko mengembangkan kapasiti perniagaannya, dengan anggaran 75 pekerja baharu, mendapat manfaat daripada kos tenaga kerja yang lebih murah di wilayah ini.

 

"Tambahan pula, kapasiti perniagaan akan diperkukuh dengan rancangan pengambilan 30 artis animasi di pejabat Selangor," katanya.- DagangNews.com