RHB Investment positif terhadap prospek MAHB, jangka impak minimum terhadap pendapatan FY24 | DagangNews Skip to main content

RHB Investment positif terhadap prospek MAHB, jangka impak minimum terhadap pendapatan FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Dis - RHB Investment positif terhadap prospek Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) selain menjangkakan kumpulan itu mengalami impak minimun terhadap pendapatannya bagi FY24. 

 

Katanya, walaupun penyelesaian caj aeronautik penting namun potensi MAHB adalah lebih daripada itu.

 

"Kami mengunjurkan kebangkitan berterusan dalam penyewaan ruang komersial, peningkatan dalam sektor pelancongan serta potensi operasi daripada perubahan kawal selia mewakili pemangkin yang masih belum disepadukan sepenuhnya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, MAHB mempunyai potensi tambahan dengan penekanan diberikan terhadap kepentingan menyelesaikan caj aeronautik.

 

Katanya, antara komponen penting dalam perjanjian operasi (OA), meliputi perbelanjaan modal pembangunan, perancangan pengembangan dan penanda aras caj perkhidmatan penumpang (PSC), kekal tidak berubah.

 

Selain itu, kemasukan tanpa visa warga China dan India seharusnya dilihat sebagai pemangkin positif pada 2024 kerana ia akan meningkatkan kehadiran pelancong antarabangsa ke Malaysia.

 


Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan beberapa risiko termasuk potensi kelewatan dalam memulakan rangka kerja kawal selia dan kemungkinan jumlah penumpang, PSC serta caj tempat letak kereta selain caj pendaratan berada di bawah paras jangkaan.

 

"Seperti dilaporkan, kelewatan itu mungkin berpunca daripada salah faham mengenai penyeragaman PSC antara Terminal 1 dan 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Bagaimanapun, kedua-dua rangka kerja itu akan dimuktamadkan selewat-lewatnya pada Februari 2024.

 

"Menurut analisis sensitiviti, penurunan 10% dalam jumlah penumpang antarabangsa Malaysia akan mengakibatkan penyusutan sebanyak 7%, 19.6% dan 6% daripada unjuran pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA), keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) dan harga sasaran (TP) FY24.

 

"Sementara menunggu maklumat konklusif, kami menjalankan analisis senario bagi prospek hasil. Senario kes kami menunjukkan risiko penurunan minimum dengan kesan kurang daripada 1% terhadap EBITDA, PATAMI teras dan TP FY24.

 

"Kami juga masih belum mengambil kira cadangan kenaikan caj tempat letak kenderan dan caj pendaratan, yang akan diumumkan dalam kertas ketiga akan datang," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap MAHB dengan TP RM8.66 sesaham. - DagangNews.com