RHB Investment positif terhadap prospek pengeluaran buah tandan segar IOI Corp bagi FY24 | DagangNews Skip to main content

RHB Investment positif terhadap prospek pengeluaran buah tandan segar IOI Corp bagi FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Ogos - RHB Investment positif terhadap prospek pengeluaran buah tandan segar (BTS) IOI Corp Berhad dan pada masa sama mengunjurkan kos pengeluaran menurun antara 10% hingga 15% pada FY24.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu akan mencatatkan pemulihan satu digit yang tinggi dalam pertumbuhan keluaran BTS pada FY24, didorong oleh kenaikan 20% YoY di Indonesia (disebabkan oleh kelapa sawit muda) serta pemulihan hasil berikutan dua hingga tiga tahun terakhir hujan yang baik dan kohort penuh pekerja.

 

Ia menjangkakan pengeluaran puncak pada akhir tahun ini, sekitar November, manakala sebarang kesan daripada El Nino berkemungkinan hanya akan berlaku menjelang akhir FY24.

 

"Oleh itu, kami meningkatkan unjuran pertumbuhan BTS kami kepada 5.9% daripada 2.4% untuk FY24, tetapi mengekalkan pertumbuhan 2.5% hingga 3.5% untuk FY25 hibgga FY26," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu menjunam kepada RM37.2 juta pada suku keempat berakhir 30 Jun 2023 (4QFY23) daripada RM541.8 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

 

Hasil juga menurun kepada RM1.9 bilion daripada RM3.73 bilion sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh sumbangan yang lebih rendah daripada segmen perladangannya, dikurangkan oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen pembuatan berasaskan sumber.

 

Firma itu menjangkakan prospek bahagian hiliran kumpulan kekal mencabar pada FY24.

 

Katanya, kadar penggunaan di kilang penapisannya adalah sekitar 50% hingga 60% pada FY23 berikutan persaingan sengit dari Indonesia, yang turut mengakibatkan margin negatif pada 4QFY23.

 

Penggunaan oleokimia adalah lebih baik pada 70% hingga 80% pada FY23 tetapi permintaan kekal lemah disebabkan persekitaran ekonomi global serta tahap inventori yang tinggi di negara pengguna.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM4.55 sesaham," katanya.- DagangNews.com