RHB Investment positif terhadap prospek Tasco bagi FY25 didorong sumbangan daripada gudang baharu | DagangNews Skip to main content

RHB Investment positif terhadap prospek Tasco bagi FY25 didorong sumbangan daripada gudang baharu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Ogos - RHB Investment positif terhadap prospek Tasco Bhd pada FY25 didorong segmen penghantaran barang yang bertambah baik selain sumbangan daripada gudang baharu.

 

Katanya, selain itu, ia juga akan dibantu oleh pemulihan jumlah barangan dan kredit cukai tersedia aripada insentif perkhidmatan logistic bersepadu (ILS).

 

Firma penyelidikan itu berkata, segmen penghantaran kargo udara (AFF) dan segmen penghantaran kargo laut (OFF) juga akan menyumbang pendapatan lebih kukuh pada suku akan datang, hasil daripada margin yang lebih baik daripada pelarasan harga jualan.

 

"Selain itu, kadar tambang akan dinaikkan dengan jangkaam musim puncak berlaku antara September dan November.

 

"Kami gembira dengan sumbangan penuh daripada dua gudang baharu (Pusat Logistik Shah Alam dan Pusat Logistik Westport) seluas 850,000 kaki persegi dan kumpulan itu bersedia untuk terus menikmati insentif cukai ILS serta kredit cukai tidak dituntut lebih RM32 juta," katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Tasco susut lebih 50% kepada RM7 juta pada 1QFY25

 

Terdahulu, hasil bagi 1QFY25 menyusut kepada RM250 juta berbanding RM253 juta bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.

 

Katanya, pendapatan segmen rumusan perniagaan antarabangsa (IBS) meningkat sebanyak RM15.6 juta atau 18.3% daripada RM85.2 juta kepada RM100.8 juta manakala DBS mencatatkan kejatuhan jualan sebanyak 11.2%, susut berbanding RM168 juta kepada RM149.1 juta.

 

RHB Investment berkata, 1QFY25 menyaksikan prestasi kumpulan yang lebih lemah dalam perniagaan penghantaran barang.

 

Katanya, terutamanya diheret oleh segmen AFF yang mencatatkan untung kasar sebanyak RM1.6 juta manakala segmen OFF meningkat 34% kepada RM700,000.

 

"Segmen AFF yang lebih lemah disebabkan kumpulan itu terpaksa mematuhi harga kontrak tender sedia ada walaupun kos pasaran meningkat.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan prospek yang lebih baik untuk segmen ini berdasarkan sebaran yang lebih baik kerana harga tender yang lebih tinggi berkuat kuasa mulai Julai 2024 dan seterusnya," katanya.

 

Katanya, sumbangan daripada pelanggan automotif baharu harus memberikan sokongan kepada pendapatan CL sementara kesan kesesakan pelabuhan dapat dikurangkan sedikit kerana Tasco telah mula mengenakan bayaran treler kepada pelanggan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.15 sesaham," katanya.- DagangNews.com