RHB Investment semak naik unjuran pendapatan Gamuda bagi FY25-FY26 sebanyak 8% didorong peningkatan margin segmen pembinaan | DagangNews Skip to main content

RHB Investment semak naik unjuran pendapatan Gamuda bagi FY25-FY26 sebanyak 8% didorong peningkatan margin segmen pembinaan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Julai - RHB Investment menyemak naik unjuran pendapatan FY25-FY26 Gamuda Bhd sebanyak 8% didorong oleh peningkatan margin dalam cabang pembinaannya selain jumlah pekerjaan domestik yang lebih tinggi.

 

Katanya, dengan baki buku pesanan antara RM22 bilion hingga RM24 bilion pada Jun 2024, kumpulan itu memerlukan kemenangan kontrak baharu antara RM11 bilion hingga RM13 bilion bagi mencapai sasaran RM30 bilion pada akhir tahun ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, antara projek yang berpotensi diraih dalam tempoh enam bulan akan datang termasuk Transit Aliran Ringan Pulau Pinang Segmen 1 (RM8 bilion untuk 60% bahagian GAM dalam Konsortium SRS), Empangan Hidroelektrik Ulu Padas (RM2 bilion hingga RM3 bilion) dan skim bekalan air (sekurang-kurangnya RM4 bilion) dan projek isyarat kapasiti tinggi untuk Infrastruktur DT (bernilai sekurang-kurangnya AU$500 juta).

 

"Kumpulan itu juga berpotensi merangkul satu lagi projek pusat data pada FY25 selain projek lebuh raya di Sarawak dan Sabah, iaitu fasa baharu Lebuhraya Pan Borneo dan Lebuhraya Pantai Utara.

 

"Kami menyemak semula trend pengiktirafan jualan hartanah didorong prospek yang lebih baik, terutamanya untuk projek perbandaran tempatan, iaitu Gamuda Gardens (Rawang di Daerah Gombak) dan Gamuda Cove (Daerah Kuala Langat) dengan kedua-dua daerah menyaksikan peningkatan dalam transaksi hartanah kediaman selaras dengan 11% dan 45% pada suku pertama tahun ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

RHB Investment menganggap sasaran nisbah harga kepada pendapatan (P/E) yang lebih tinggi iaitu 25x (daripada 18.5x) dan 20x (daripada 17x) untuk cabang pembinaan dalam dan luar negara kumpulan itu.

 

Sasaran P/E untuk bahagian pembinaan tempatan adalah wajar, kerana pusat data dan projek kuasa hidro tidak hadir semasa kitaran naik pembinaan pada 2017.

 

Sementara itu, sasaran P/E yang disemak semula untuk pembinaan luar negara adalah wajar di tengah-tengah indeks harga pembinaan yang lebih stabil di Australia, yang memudahkan peningkatan margin.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi, RM9.68 sesaham," katanya.- DagangNews.com