KUALA LUMPUR 17 Okt - RHB Investment Bank menyemak semula unjuran harga minyak mentah Brent bagi tahun ini sekitar AS$102 setong, lebih rendah berbanding sebelum ini pada AS$108 setong.
Semakan semula itu berdasarkan kepada anggaran permintaan minyak global yang dijangka meningkat sebanyak 3.1 juta tong sehari (bpd) kepada 100 juta bpd pada 2022 diikuti 2.7 juta bpd kepada 102.7 juta bpd pada 2023.
Penganalisisnya, Alexander Chia berkata, ia turut dipengaruhi pengeluaran minyak dan kondensat Rusia yang kekal pada 10.7 juta bpd pada suku keempat 2022, tetapi menurun kepada purata pada 10.5 juta bpd pada 2023.
Selain itu, katanya, pengeluaran Pertubuhan Negara Pengeluar Petroleum (OPEC) boleh berkurangan daripada 29.5 juta bpd pada suku ketiga kepada 29.1 juta bpd pada suku keempat 2022 dengan purata 29.2 juta bpd pada 2023, yang mana tahap pengeluaran sedemikian adalah di bawah paras sebelum pandemik sekitar 29.4 juta bpd pada 2019.
"Susulan itu, kami juga menyemak semula unjuran harga minyak mentah Brent bagi 2023 dan 2024 masing-masing pada AS$90 setong dan AS$80 setong berbanding AS$85 dan AS$75 setong sebelum ini.
"Setakat suku ketiga, harga minyak mentah berlegar pada purata AS$98 setong, menjadikan harganya bagi tempoh sembilan bulan ini pada AS$103 setong.
"Ini adalah di bawah jangkaan kami, terutamanya disebabkan meningkatnya sentimen negatif berikutan beberapa faktor antaranya risiko kemelesetan, dasar monetari Amerika Syarikat (AS) yang ketat, kekuatan dolar AS, penggunaan China lebih lemah dan tahap inventori yang lebih tinggi," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada 6 Oktober lalu, menteri-menteri dari 13 negara pakatan OPEC dan kumpulan 10 pengeksport diterajui Rusia bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak dua juta tong seharibermula November ini.
Langkah itu merupakan pemotongan terbesar sejak kemuncak pandemik COVID-19 pada 2020 dan keputusan itu diambil di sebalik kebimbangan ia boleh melonjakkan lagi inflasi dan menyebabkan bank-bank pusat menaikkan lebih banyak kadar faedah.
Ia turut menyaksikan Malaysia mengurangkan pengeluaran minyak mentah hariannya sebanyak 27,000 tong kepada 567,000 tong.
Chia berkata, pengurangan pengeluaran itu membuktikan komitmen negara OPEC dan pakatannya (dikenali sebagai OPEC+) untuk menyokong harga minyak mentah, dan ia dijangka kekal utuh.
"Secara dasarnya, pengeluaran pengeluaran sebanyak 2 juta bpd adalah mengejutkan, kerana pasaran menjangkakan penurunan yang lebih kecil.
"Oleh itu, kami berpendapat, pemotongan bekalan sebenar mungkin lebih kecil (dianggarkan pada 1 juta bpd), kerana banyak pengeluar OPEC tidak memenuhi kuota pengeluaran mereka dalam beberapa bulan lalu, disebabkan kekangan kapasiti dan kurang pelaburan dalam aset huluan," jelasnya.
Tambahan pula, menurutnya, kebanyakan pemotongan pengeluaran itu datangnya dari Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Malaysia adalah salah satu daripada 10 negara bukan OPEC yang mengambil bahagian, yang turut merangkumi Azerbaijan, Bahrain, Brunei, Kazakhstan, Mexico, Oman, Rusia, Sudan dan Sudan Selatan.
Sementara itu, 10 anggota OPEC terdiri daripada Algeria, Angola, Congo, Equatorial Guinea, Gabon, Iraq, Kuwait, Nigeria, Arab Saudi dan UAE. - DagangNews.com