RHB Investment semak turun unjuran pendapatan FY24 Econpile sebanyak 13% dengan andaian margin lebih rendah | DagangNews Skip to main content

RHB Investment semak turun unjuran pendapatan FY24 Econpile sebanyak 13% dengan andaian margin lebih rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Mei - RHB Investment menyemak turun unjuran pendapatan Econpile Holdings Bhd bagi FY24 sebanyak 13% selepas mengambil kira andaian margin yang lebih rendah serta kos operasi lebih tinggi.

 

Katanya, untung bersih teras kumpulan itu bagi sembilan bulan berakhir 31 Mac 2024 (9MFY24) melebar kepada RM17 juta melebihi andaian RM16 juta yang disasarkan kerana kos operasi yang lebih tinggi memberi kesan kepada margin terhadap projek yang sedang dilaksanakan. 

 

Bagaimanapun, buku pesanan tertunggak kumpulan itu adalah sebanyak RM400 juta dan ia dijangka membantu kumpulan itu kekal sibuk bagi tempoh 12 bulan akan datang.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kejayaan pekerjaan baharu sehingga akhir Mei 2024 dianggarkan sebanyak RM392 juta termasuk kerja menaik taraf jalan di Cameron Highlands (RM66 juta), projek SOHO (RM101 juta) dan Eden Residence (RM83 juta).

 

"Ini menunjukkan pemberian pekerjaan pembinaan yang lebih aktif berbanding kurang RM300 juta pada dua tahun lalu.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Rugi bersih Econpile melebar kepada RM2.76 juta bagi 3QFY24 kesan kos operasi tinggi

 

"Dengan sektor pembinaan menunjukkan beberapa tanda peningkatan, kami menjangkakan kumpulan itu memperoleh projek tambahan dengan memanfaatkan kedudukannya dalam projek kereta api dan lebuh raya.

 

"Potensi kemenangan untuk Econpile termasuk projek infrastruktur tempatan seperti transit aliran ringan (LRT) Pulau Pinang, Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dan Sungai Klang Link serta projek kediaman swasta, kilang semikonduktor, pusat data dan dua projek di Kemboja (bernilai AS$10 juta setiap satu)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

RHB Investment mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu 69 sen berbanding 71 sen sesaham. - DagangNews.com