RHB Investment semak turun unjuran pendapatan FY25-FY26 Samaiden sebanyak 19%, 10.7% | DagangNews Skip to main content

RHB Investment semak turun unjuran pendapatan FY25-FY26 Samaiden sebanyak 19%, 10.7%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Sept - RHB Investment menyemak turun unjuran pendapatan Samaiden Group Bhd bagi FY25 dan FY26 masing-masing sebanyak 19% dan 10.7% meskipun kumpulan mengakhiri FY24 dengan keadaan positif.

 

Katanya, unjuran itu bagaimanapun tidak termasuk pendapatan syarikat kejuruteraan biojisim, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) disebabkan kelewatan yang berpanjangan, kerana pemilik projek belum menyelesaikan terma pembiayaan.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu positif terhadap prospek kumpulan, didorong oleh peluang dalam inisiatif tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

"Kami memperkenalkan ramalan FY27 mengenai andaian penambahan buku pesanan 200 MW (megwatt) daripada projek berskala utiliti, disokong oleh inisiatif kerajaan untuk meningkatkan campuran RE," katanya dalam satu nota kajian.

 

Sehingga Mac 2024, buku pesanan Saimaiden berjumlah RM313.5 juta, iaitu 11.5% lebih rendah berbanding RM354.3 juta pada suku sebelumnya, apabila pesanan solar berskala besar (LSS) diiktiraf.

 

"Pecahan buku pesanan ialah 40% biojisim, 30% solar skala utiliti, dan 20% solar komersial dan industri, manakala selebihnya terdiri daripada hidro mini dan projek lain," katanya.

 

RHB Investment menjangkakan penambahan buku pesanan jangka pendek daripada Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP).

 

Katanya, Samaiden berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada kemasukan projek daripada baki 450 projek solar Taman Teknologi Tinggi MWac Kulim (KHTP), daripada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), dan LSS5.

 

Pada FY24, pendapatan Samaiden melonjak 33% kepada RM227.2 juta, dipacu oleh kontrak 50MW LSS4 dan 50MW KHTP.

 

RHB Investment berkata, inisiatif baharu seperti Bekalan Elektrik Rentas Sempadan dan Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat seharusnya menyediakan peluang yang luas kepada Samaiden, terutamanya dalam ruang EPCC. - DagangNews.com