RHB Investment semak turun unjuran pendapatan KPJ Healthcare sebanyak 8%, 7% bagi 2023 dan 2024 | DagangNews Skip to main content

RHB Investment semak turun unjuran pendapatan KPJ Healthcare sebanyak 8%, 7% bagi 2023 dan 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Jun - RHB Investment menyemak turun unjuran pendapatan KPJ Healthcare Berhad bagi 2003 dan 2024 sebanyak 8% serta 7% selepas mengambil kira kos berkaitan Hospital Pakar Damansara 2 (DSH2) selain kos utiliti yang tinggi di hospital sedia ada.

 

Selain DSH2, firma itu berkata, KPJ Perlis dan KPJ Miri juga mencatatkan kerugian walaupun keadaan dilihat semakin baik dengan kehadiran lebih ramai pesakit.

 

Katanya, Pusat Jagaan Ambulatori yang baharu dibuka di Ipoh dan Lembah Klang dijangka memacu pertumbuhan pesakit luar sambil menangani isu kesesakan di hospital awam.

 

"Melangkah ke hadapan, intensiti hasil gabungan berpotensi menjadi normal, tetapi ini harus diimbangi dengan sumbangan positif daripada kehadiran semula pelancong kesihatan dan pelan transformasi KPJ (untuk menawarkan lebih banyak perkhidmatan penjagaan tertiari).

 

"Kami menjangkakan kumpulan itu dapat mengekalkan momentum pertumbuhan pendapatannya di hadapan, disokong oleh peningkatan kecekapan operasi dan peningkatan beransur-ansur dalam sumbangan pelancong kesihatan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, keuntungan melonjak kepada RM51.9 juta bagi 1QFY23 daripada RM22.14 juta yang direkodkan pada suku yang sama tahun kewangan 2022.

 

Perolehan pula meningkat kepada RM828.98 juta daripada RM641.64 juta, kenaikan sebanyak 29%, bagi tempoh yang sama.

 

Keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) bagi suku ini adalah sebanyak RM190.2 juta, 27% lebih baik daripada RM150.3 juta yang dicatatkan pada suku sama sebelumnya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.46 sesaham.

 

"Kami menyukai kumpulan itu kerana pertumbuhan pesakit yang sihat selain tidak berdepan masalah kekurangan jururawat dan prestasi menggalakkan daripada DSH2 bagi memacu pertumbuhan pelancongan kesihatan," katanya. - DagangNews.com