RHB Investment semak turun unjuran pendapatan Yinson bagi FY25 hingga FY26 sebanyak 12% | DagangNews Skip to main content

RHB Investment semak turun unjuran pendapatan Yinson bagi FY25 hingga FY26 sebanyak 12%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Mac - RHB Investment menyemak turun unjuran pendapatan Yinson Holdings Bhd bagi FY25 hingga FY26 sebanyak 12% kesan daripada kos kewangan dan operasi yang lebih tinggi.

 

Katanya, hasil bagi FY24 juga berada di bawah jangkaan kerana kos kewangan yang tinggi tetapi pendapatan teras kumpulan berkembang sebanyak 17% disokong operasi kapal penyimpanan dan pemunggahan pengeluaran terapung (FPSO).

 

Permintaan FPSO global kekal teguh dan kumpulan itu berada pada kedudukan terbaik untuk mendapatkan projek lain sebaik sahaja salah satu daripada projek itu mencapai peringkat penukaran akhir.

 

"Kami juga melihat potensi pengewangan unit FPSO sebagai pemangkin jangka pendek yang berpotensi untuk kitaran semula modal," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Yinson melonjak kepada RM964 juta pada FY24 didorong peningkatan hasil

 

Terdahulu, untung bersih bagi suku keempat berakhir 31 Januari 2024 (4QFY24) meningkat kepada RM278 juta berbanding RM171 juta disebabkan kesan kenaikan kadar sewa harian.

 

Bagaimanapun, ia diimbangi sumbangan yang lebih rendah daripada aktiviti perniagaan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC) dan peningkatan kos kewangan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengurusan kumpulan menekankan bahawa permintaan FPSO global kekal teguh dengan pasaran terkumpul sebanyak AS$96 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang.

 

Katanya, Brazil kekal sebagai pasaran utama (perbelanjaan modal sebanyak AS$6 bilion) diikuti rantau Afrika (AS$17 bilion).

 

Memandangkan terdapat tiga projek dalam peringkat pembinaan, kumpulan akan fokus kepada pasaran FPSO bersaiz sederhana dan berada di landasan tepat untuk mendapatkan projek lain sebaik sahaja salah satu projek itu mencapai peringkat penukaran akhir.

 

"Beberapa tender akan datang termasuk projek Balaine, Paon di Ivory Coast, projek Barracuda Caratinga dan Albacora di Brazil, projek WL-400 di Malaysia dan projek Dorado di Australia.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.96 sesaham," katanya. - DagangNews.com