KUALA LUMPUR 15 Nov - RHB Investment Bank mengekalkan saranan 'beli' terhadap MGB Bhd. dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada 62 sen daripada 67 sen sesaham sebelum ini.
Sejajar dengan semakan semula itu, ia mengurangkan unjuran hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) sebanyak 29% diikuti FY23 (25%) dan FY24 (15%) selepas mengambil kira keuntungan yang lebih lambat daripada penangguhan pelancaran projek Rumah Selangorku Idaman (Idaman) dan pengurangan kemajuan pembayaran bagi projek pembinaan yang sedang berjalan.
Firma itu mendapati projek Idaman Bandar Saujana Putra yang dilancarkan pada suku keempat 2021 telah mencapai kadar jualan antara 70 hingga 80% dengan pembinaan sudah disiapkan kira-kira 15 hingga 20%.
Menurutnya, MGB turut melancarkan projek Idaman keduanya, Idaman Melur in Cybersouth, Dengkil pada akhir Oktober lalu, lebih lewat berbanding sasaran awal pada Ogos 2022 dengan nilai pembangunan kasar RM414 juta.
"Empat lagi baki projek Idaman (Cahaya, Sari, Kita dan Alam Perdana) kini dijangka dilancarkan sepanjang FY23 dan awal FY24.
"Apabila diteliti lebih lanjut, projek Idaman Cahaya sepatutnya dilancarkan pada September/Oktober, tetapi kini mungkin ditangguhkan lagi ke awal FY23," katanya dalam nota kajian hari ini.
Setakat ini, MGB telah memperoleh dua kontrak bernilai RM397 juta daripada LBS Bina Group Bhd. menjadikan jumlah buku pesanannya kepada RM2.1 bilion pada akhir Ogos, memberikan keterlihatan pendapatan untuk tiga tahun akan datang.
MGB mungkin hanya mencapai sasaran penambahan kerja pada FY22 sebanyak RM450 juta menjelang akhir tahun ini.
LBS Bina telah melancarkan projek baharu bernilai melebihi RM1 bilion (pada akhir Oktober) berbanding sasaran FY22 sebanyak RM1.8 bilion.
Selain itu, kadar pengambilan yang kukuh pada suku kedua 2022 bagi LBS Alam Perdana dan KITA@Cybersouth, di mana MGB terlibat, boleh membuka jalan untuk lebih banyak kontrak kepada, berikutan pelancaran pemaju hartanah akan datang.
RHB Investment berkata, kumpulan mungkin memperoleh lebih banyak kontrak berkaitan projek Idaman atau projek rumah mampu milik di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
"Oleh itu, sebanyak 7,210 unit rumah mampu milik semasa di bawah projek Idaman boleh berkembang melebihi ini, dan meningkatkan lagi pendapatannya.
"Peningkatan seterusnya mungkin disumbangkan menerusi projek Taman Biopolimer Kerteh (MGB adalah kontraktor turnkey) jika pembeli tanah melantiknya untuk membina kemudahan di taman itu," katanya.
Firma itu menjangkakan keuntungan teras MGB pada suku ketiga akan berkembang antara RM1 hingga RM3 juta, didorong tekanan kos input yang semakin berkurangan.
"Namun, pendapatan teras bagi suku ketiga mungkin lebih rendah atau mendatar disebabkan masalah kekurangan buruh dan kelewatan pelancaran projek Idaman," tambahnya. - DagangNews.com