RHB Investment turunkan harga sasaran SKP Resources kepada RM1.95 ekoran prospek lemah sektor teknologi  | DagangNews Skip to main content

RHB Investment turunkan harga sasaran SKP Resources kepada RM1.95 ekoran prospek lemah sektor teknologi 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 18 Okt - RHB Investment Bank menaikkan harga sasaran SKP Resources Bhd. kepada RM1.95 daripada RM2.22 sesaham dengan mengekalkan saranan 'beli' terhadap syarikat pengeluar acuan perindustrian itu. 

 

Prospek kumpulan dipacu ketibaan pengambilan buruh asing baharu, membolehkan SKP berada pada kedudukan yang baik untuk meningkatkan jumlah pengeluarannya bagi meraih permintaan bermusim yang kukuh menjelang akhir tahun.

 

Ini memandangkan syarikat terus menerima pesanan permintaan yang menggalakkan daripada Pelanggan X.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan jualan akan meningkat secara progresif pada suku kedua hingga ketiga bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23), melepasi paras tinggi setakat ini sebanyak RM726 juta yang dicapai pada suku kedua FY20.

 

"Ia turut dibantu kecekapan pengeluaran yang lebih tinggi pada skala ekonomi, sepatutnya meletakkannya di landasan untuk mencapai pertumbuhan pendapatan 24% yang kami ramalkan untuk FY23," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Susulan lawatan firma itu ke fasiliti SKP baru-baru ini, ia tidak membuat sebarang perubahan kepada unjuran hasil. 

 

Site 5, yang ketika ini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap seawal 2023 akan meningkatkan jumlah ruang lantai SKP sebanyak 40% hingga 50% atau 650,000 kaki persegi, sekali gus membolehkan kumpulan menambah pesanan daripada pelanggan sedia ada.

 

Selain itu, ia dapat meningkatkan lagi pengeluarannya dengan mengembangkan pemasangan papan litar bercetak (PCBA) dan kapasiti pek bateri di tapak baharu. 

 

Kemudahan baharu itu juga membolehkan SKP membawa masuk pelanggan baharu bagi meningkatkan nilai kontrak dan mempelbagaikan aliran pendapatan.

 

Menurut RHB Investment, ia mengurangkan harga sasaran SKP selepas mengambil kira gandaan nilai perusahaan (P/E) yang lebih rendah sebanyak 15x kepada pendapatan sesaham (EPS) FY23.

 

Katanya, ia sejajar dengan penurunan penilaian bagi sektor teknologi ekoran persekitaran makroekonomi yang masih membimbangkan dan kenaikan kadar faedah.

 

"Tetapi, kami percaya SKP akan terdedah kepada tahap risiko kelembapan yang agak rendah memandangkan profil pelanggan tersendiri iaitu Pelanggan X.

 

"Penilaian semasa kekal menarik memandangkan pertumbuhan pendapatan yang teguh, penampan daripada persekitaran inflasi hasil daripada model kos tambah dan hasil dividen yang baik disokong oleh kedudukan kunci kira-kira yang kukuh," jelasnya.

 

Setakat 12.26 tengah hari, harga sahamnya menokok 1 sen atau 0.64% kepada RM1.58 dengan 610,100 saham diniagakan. - DagangNews.com