RHB Investment turunkan unjuran pendapatan FY25-FY26 Kotra Industries sebanyak 11% dan 14% kesan permintaan lemah pengguna | DagangNews Skip to main content

RHB Investment turunkan unjuran pendapatan FY25-FY26 Kotra Industries sebanyak 11% dan 14% kesan permintaan lemah pengguna

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Ogos -RHB Investment menyemak turun unjuran pendapatan FY25-FY26 Kotra Industries Bhd sebanyak 11% dan 14% selepas mengambil kira permintaan pengguna yang lemah terhadap produk makanan tambahan serta kadar cukai berkesan yang lebih tinggi.

 

Katanya, pemulihan pendapatan jangka pendek kumpulan itu dilihat kekal mencabar memandangkan cukai yang lebih tinggi dan usaha untuk meningkatkan jualan bagi produk makanan tambahan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan teras kumpulan bagi FY24 sebanyak RM46 juta gagal mencapai unjuran setahun penuh.

 

Penyusutan pendapatan teras itu adalah disebabkan oleh penurunan dalam jualan produk farmaseutikal di dalam dan luar negara.

 

"Walaupun kami positif terhadap prospek ekonomi Malaysia, namun kami menjangkakan permintaan jangka pendek yang lemah untuk produk penjagaan kesihatan pengguna apabila kesedaran kesihatan dalam kalangan pengguna semakin berkurangan selepas pandemik COVID-19," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN : Untung bersih FY24 Kotra Industries susut kepada RM44.6 juta kesan kekurangan bekalan pelbagai bekalan bahan khusus

 

Terdahulu, hasil bagi FY24 juga susut kepada RM226.6 juta berbanding RM242.2 juta.

 

Untung bersih pada suku keempat berakhir 30 Jun 2024 (4QFY24) juga menyusut kepada RM12.5 juta berbanding RM13.1 juta, bagaimanapun hasil bagi suku berkenaan meningkat kepada RM59.8 juta berbanding RM55.8 juta pada 4QFY23.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan kumpulan itu berdepan beberapa cabaran termasuk peningkatan harga bahan mentah, permintaan lebih rendah daripada jangkaan untuk produk makanan tambahan serta penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

RHB Investment mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran RM4.30 sesaham. - DagangNews.com