RHB Investment unjur pendapatan sektor teknologi meningkat lebih tinggi pada separuh kedua 2023 | DagangNews Skip to main content

RHB Investment unjur pendapatan sektor teknologi meningkat lebih tinggi pada separuh kedua 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Pendapatan bagi sektor teknologi diunjur meningkat lebih tinggi pada separuh kedua tahun ini didorong penambahan semula inventori jangka pendek tetapi pemulihan sepenuhnya masih jauh.

 

RHB Investment berkata, sektor itu kini sedang berusaha secara agresif untuk meneruskan perkembangan yang lebih baik dengan mencari lebih ramai pelanggan baharu pada FY24.

 

"Bagaimanapun, semakan kami mendapati bahawa peningkatan pada separuh kedua ini adalah bermusim dan kelembapan pasaran mungkin berterusan kesan daripada cabaran makroekonomi.

 

"Gergasi semikonduktor utama Taiwan, Semiconductor Manufacturing Co dan pembuat mesin litografi ASML Holdings mula menyedari sikap berhati-hati pelanggan selain kekurangan keterlihatan pesanan bagi jangka sederhana," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu percaya, mungkin terdapat lebih banyak kelemahan dalam unjuran konsensus, memandangkan jangkaan kelewatan pemulihan di samping peningkatan kos, khususnya perbelanjaan kakitangan dan utiliti.

 

"Kami menyukai CTOS Digital kerana perniagaannya tertumpu kepada pasaran domestik, kedudukan utama dan prospek pertumbuhan dalam pelbagai penyelesaian digital dan perkhidmatan teknologi kewangan (fintech).

 

"Untuk syarikat dengan modal yang lebih kecil, kami menyukai Datasonic kerana mereka mengunjurkan permintaan kukuh yang berterusan untuk penyelesaiannya dalam pelbagai projek keselamatan negara dan potensi kejayaan projek baharu dalam keperlbagaian strateginya.

 

"Bagi pendedahan semikonduktor, kami mengesyorkan Inari Amertron sebagai proksi kepada industri, memandangkan kecairannya yang kukuh selain potensi mendapatkan pelanggan baharu daripada pelbagai usaha niaga," katanya.

 

RHB Investment mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu. - DagangNews.com