RHB Islamic, Pernas sedia RM1 juta menerusi BEST-BYOB 2024 perkasa usahawan asnaf, B40 | DagangNews Skip to main content

RHB Islamic, Pernas sedia RM1 juta menerusi BEST-BYOB 2024 perkasa usahawan asnaf, B40

Datuk Adissadikin Ali (kiri) menyerahkan dana program B40 Empowerment Strategy-Be Your Own Boss (BEST-BYOB) 2024 kepada Mazlan Ibrahim (kanan) sambil disaksikan Datuk Ewon Benedick (tengah).
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Nov – RHB Islamic Bank Berhad dengan kerjasama Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) melancarkan inisiatif B40 Empowerment Strategy-Be Your Own Boss (BEST-BYOB) 2024 dengan peningkatan modal perniagaan sebanyak RM1 juta bagi memperkasakan usahawan asnaf dan B40.

 

Inisiatif itu adalah bagi membantu menjadikan golongan itu sebagaian daripada usahawan perniagaan pra-francais.

 

Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Francais Pernas, Mazlan Ibrahim berkata, bagi inisiatif yang sama sebelum ini sejumlah 28 peserta edisi pertama berjaya menjadi usagawan pra-francais menersui program Business In Transformation (BIT) dengan mereka mendapat dana awal antara RM1,500 sehingga RM30,000.

 

Katanya, komitmen Pernas bagi mempromosikan keusahawanan di Malaysia akan diteruskan dengan lebih banyak program akan diperkenalkan pada tahun hadapan.

 

"Jenama yang terlibat dengan inisiatif ini sudah mula mengenal pasti peserta berpotensi bagi BEST-BYOB 2024 namun permohanannya masih dibuka dan ia hanya akan dimulakan pada tahun hadapan.

 

BYOB
Mazlan Ibrahim

 

"Kami juga dengan kerjasama RHB akan meluaskan program itu ke universiti, khususnya kepada pelajar yang terdiri daripada golongan asnaf serta B40 yang berminat dengan bidang keusahawanan," katanya dalam sidang akhbar selepas perasmian inisiatif berkenaan, hari ini.

 

Program itu dirasmikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Datuk Ewon Benedick. 

 

BEST-BYOB 2024 merupakan program keusahawanan yang komprehensif dan kompetitif yang merangkumi aspek latihan perniagaan yang berstruktur, peluang padanan perniagaan, bimbingan serta pemberian modal perniagaan. 

 

Peserta yang berjaya menamatkan latihan perniagaan di bawah Program BEST-BYOB 2024 akan dipadankan dengan pra-francaisor dan seterusnya diberi bimbingan perniagaan dalam tempoh enam bulan pertama perniagaan mereka beroperasi.

 

Peserta program BEST-BYOB 2024 yang layak akan dipadankan dengan jenama pra-francais di bawah inisiatif BIT oleh Pernas, seperti Mekeria, Monti Keopi, Kuhot dan Goreng Pisang Crispy. 

 

Pernas juga akan membantu pemilik jenama pra-francais BIT serta para peserta dari kalangan asnaf dan B40 untuk memanfaatkan Pakej RHB e-Penyelesaian Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) oleh RHB Islamic yang menawarkan kemudahan fasiliti perbankan internet dan akaun perniagaan yang komprehensif.

 

byob
Datuk Adissadikin Ali

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank, Datuk Adissadikin Ali berkata, pada edisi kali ini pihaknya menyasarkan penyertaan seramai 100 usahawan mikro selepas mengambil kira kejayaan program pertama.

 

Beliau berkata, inisiatif itu merupakan manifestasi sokongan kami terhadap agenda Bank Negara Malaysia di bawah Teras Strategik 2 Pelan Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026 dan ia merupakan inisiatif di bawah iTEKAD Bank Negara Malaysia (BNM), yang menggerakkan instrumen kewangan sosial seperti zakat, wakaf, dan sadaqah untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik ke arah meningkatkan tahap kewangan mereka.

 

"Pada tahun ini, kami berbesar hati untuk mengumumkan bahawa RHB Islamic bersama Permodalan Nasional Berhad (PNB), secara kolektif akan memperuntukkan RM1 juta sebagai bantuan modal perniagaan untuk program ini," katanya. - DagangNews.com