KUALA LUMPUR 7 Julai - RHB Research menjangkakan kadar faedah yang tinggi akan mengurangkan permintaan terhadap pasaran hartanah tetapi bergantung kepada kekuatan pertumbuhan ekonomi negara.
Firma itu lebih menggemari pemaju perbandaran bertanah mampu milik dengan pembangunan matang yang berterusan dan pemilik aset di tengah-tengah persekitaran kadar faedah yang semakin meningkat.
Mereka mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor hartanah dengan Matrix Concepts Holdings Berhad dan IOI Properties Berhad sebagai pilihan utama.
"Berdasarkan kepada data sejak 1991, jumlah transasksi akan menurun apabila berlakunya semakan semula kadar pinjaman.
"Jumlah permintaan terhadap hartanah mungkin jatuh apabila Bank Negara Malaysia menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) secara progresif dalam tempoh dua tahun akan datang.
"Penurunan permintaan juga bergantung kepada sama ada trajektori pertumbuhan ekonomi dan sekiranya berlaku kegelinciran dalam pertumbuhan dalam negara kasar boleh memburukkan lagi keadaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu mengandaikan ekonomi Malaysia terus pulih, penurunan permintaan hartanah mungkin pada kadar yang sederhanan dengan mengambil kira kadar pinjaman menjelang akhir 2023 yang lebih rendah berbanding paras 4.5-4.6% yang dicatatkan lima tahun lalu.
Pembeli rumah seharusnya dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi dari semasa ke semasa.
"Bagaimanapun, risiko kemelesetan ekonomi di negara-negara barat semakin meningkat dan pertumbuhan ekonomi mungkin melambatkan kenaikan kadar faedah, permintaan untuk hartanah masih akan terjejas secara negatif kerana kadar pengangguran mungkin meningkat," katanya.
Firma itu kekal berhati-hati dengan prospek masa hadapan kerana kemerosotan nilai tahunan sehingga kini ke atas pinjaman perumahan meningkat 14% setiap tahun.
Pembeli rumah cenderung lebih sensitif terhadap kenaikan kadar di tengah-tengah persekitaran inflasi kerana setiap kenaikan 25 mata asas dalam OPR akan membawa kepada kenaikan 3.2-3.5% dalam pembayaran balik pinjaman. - DagangNews.com