KUALA LUMPUR 1 April - RHB Reseach menjangkakan pendapatan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) hanya akan kembali ke fasa pra pandemik pada FY24 selepas mengambil kira risiko dan cabaran yang akan timbul selepas pembukaan sempadan antarabangsa.
Firma penyelidikan itu berkata, antara risiko terlibat termasuk ancaran varian baharu yang mungkin mendorong semula kepada sekatan perjalanan dan status tidak divaksin untuk ramai tanggungan pengembara atau pelancong.
"Keperluan untuk membeli insurans pengembaraan dan COVID-19 bagi setiap pengunjung juga dilihat akan menjejaskan kehadiran orang ramai.
"Kuasa bebelanja yang rendah dalam kalangan pengembara serantau juga memberi risiko kepada jangkaan kami," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Pesawat Saudi Airlines dari Jeddah, Arab Saudi menjadi pesawat pertama mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sempena pembukaan sempadan negara secara rasmi hari ini.
Pada 8 Mac 2022, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sempadan negara dibuka semula pada 1 April selari dengan perancangan negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik.
Firma penyelidikan itu berkata, selaras dengan peralihan ke fasa endemik, kehadiran pelancong dan pengembara tanpa perlu menjalani kuarantin untuk mereka yang sudah menerima dua dos vaksin dijangka memacu perkembangan sektor pelancongan tempatan.
Prosedur operasi standard (SOP) kini hanya merangkumi ujian PCR sebelum berangkat dan ujian RTK semasa ketibaan.
"Ini memberi gambaran bahawa orang ramai kini mudah untuk bergerak dan ia bakal meningkatkan permintaan pada suku akan datang," katanya.
Firma penyelidikan itu kekal 'neutral' terhadap saham MAHB namun menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM7.20 daripada RM6.36. - DagangNews.com