RHB Research jangka Pintaras Jaya terima manfaat besar daripada pemulihan industri pembinaan Singapura | DagangNews Skip to main content

RHB Research jangka Pintaras Jaya terima manfaat besar daripada pemulihan industri pembinaan Singapura

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 April - RHB Research menjangkakan Pintaras Jaya Berhad akan menerima manfaat daripada pemulihan industri pembinaan di Singapura selepas mengambil kira 80% pendapatan mereka datang dari negara itu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu juga tidak begitu didedahkan dengan projek mega di Malaysia dan dengan kedudukan tunai yang stabil, ia membolehkan mereka untuk mendapatkan projek yang lebih besar pada masa hadapan.

 

"Kadar tempahan untuk Pintaras buat masa sekarang berada pada paras RM320 juta (80% di Singapura dan 20% di Malaysia).

 

"Bagaimanapun, keadaan itu tidak membimbangkan kerana kebanyak kontrak yang diterima melibatkan projek jangka pendek kurang daripada 12 bulan sekali gus membawa kepada kepada penyiapan projek lebih pantas," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Pihak Berkuasa Bangunan dan Pembinaan Singapura (BCA) menjangkakan permintaan untuk projek pembinaan mencecah antara S$25 bilion (RM78.13 bilion) hingga S$32 bilion (RM100.02 bilion) bermula 2023 hingga 2026, kembali sebelum era pra pandemik.

 

"Perkara itu akan disokong oleh perancangan pembinaan projek perumahan baharu, pembangunan penjagaan kesihatan dan kerja-kerja infrastruktur termasuk projek Cross Island MRT Line," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan keuntungan operasi pembuatan Pintaras akan berkembang stabil sebanyak 4% setahun bagi tempoh dua tahun kewangan.

 

Katanya, keuntungan itu disumbangkan oleh permintaan daripada pelanggan utama seperti pembuat cat terkemuka Jepun, Nippon Paint yang dijangka menyumbang 5% hingga 10% perkembangan pendapatan pada 2022 di Asia (tidak termasuk China dan Jepun)," katanya.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu mampu menyesuaikan diri dengan kenaikan barang mentah untuk pembinaan kerana mereka boleh menyemak semula harga produk berdasarkan kepada trend semasa.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM3.24 selepas mengambil kira risiko kenaikan harga bahan mentah global.

 

"Bagaimanapun mereka berdepan risiko untuk mendapatkan kontrak baharu selain berdepan saingan sengit daripada syarikat pemasangan cerucuk lain," katanya. - DagangNews.com