KUALA LUMPUR 7 Okt - RHB Research memulakan liputan terhadap Chin Well Holdings Bhd. dengan saranan 'neutral' pada harga sasaran RM1.47 sesaham.
Menurutnya, Chin Well berada di kedudukan utama sebagai pengilang produk pengikat (fastener) dan wayar yang menawarkan hasil dividen menarik sekitar 4% bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY23).
"Pelabur harus mengumpul sahamnya pada tahap yang lebih rendah. Ini kerana nisbah risiko kepada ganjarannya kurang menarik.
"Ia disebabkan kenaikan harga sahamnya yang kukuh sejak beberapa bulan lalu manakala harga jualan purata (ASP) dan permintaan (terutamanya dari Eropah) dijangka berkurangan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Secara dasarnya, Chin Well merupakan salah satu pembekal terbesar di dunia bagi pengikat keluli karbon seperti bolt, nat dan skru.
Kumpulan menyediakan proses pembuatan hujung ke hujung untuk pengikat dan produk wayar untuk jaminan kualiti.
Selain itu, inventori berkomputer dan sistem pergudangan automatik membolehkannya mendapat manfaat daripada kecekapan kos.
Ia juga mempunyai rangkaian pengedaran yang kukuh di dalam dan luar negara, dengan pengikat dijual terutamanya kepada pelanggan di Eropah, Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).
Menurut RHB Research, kumpulan berhati-hati dengan prospeknya terutamanya memandangkan masalah makroekonomi di Eropah boleh menjejaskan jualan produknya.
Katanya, ASP produknya telah mula berkurangan disebabkan pesanan yang lebih perlahan daripada pelanggan, terutamanya di Eropah (pasaran utamanya, menyumbang 42% daripada hasil FY22).
"Memandangkan permintaan yang lebih perlahan dari Eropah dan pasaran utama lain, Chin Well tidak akan mengembangkan kapasitinya dalam tempoh terdekat," jelasnya.
Firma itu menjangkakan pendapatan Chin Well akan susut 17.2% tahun ke tahun pada FY23 disebabkan kelembapan permintaan global terutamanya Eropah.
Malah, ia turut menganggarkan margin keuntungan kasar kembali normal kepada 14.4% pada FY23 berikutan ASP yang semakin rendah dan kos buruh serta pembungkusan yang lebih tinggi.
"Namun begitu, kami menjangkakan ASP dan permintaan akan pulih secara beransur-ansur pada FY24 hingga FY25, dengan perolehan masing-masing meningkat sebanyak 2.8% dan 2.3% tahun ke tahun.
"Selain itu, pelaburan berterusan dalam teknologi dan automasi yang menghasilkan kecekapan kos harus menyumbang kepada pertumbuhan margin dalam FY24 hingga FY25," katanya.
Setakat 11.52 pagi ini, harga sahamnya menokok 1 sen atau 0.6% kepada RM1.69 dengan 3,600 saham diniagakan. - DagangNews.com