RHB Research optimis dengan prospek sektor perbankan | DagangNews Skip to main content

RHB Research optimis dengan prospek sektor perbankan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 11 Mac - Pembukaan semula ekonomi domestik dan peningkatan kualiti aset akan terus menyokong prospek sektor perbankan, justeru, membolehkan RHB Research mengekalkan pandangan 'overweight'.

 

Menurutnya, risiko dan kerapuhan yang disebabkan pergolakan geopolitik di Ukraine akan memastikan pasaran tidak menentu dan sentimen risiko meningkat.

 

"Namun, Malaysia dengan ciri-cirinya yang agak defensif, sepatutnya melihat beberapa prestasi jangka pendek yang lebih baik.

 

"Bagi bank, kami percaya, pembukaan semula ekonomi dan penambahbaikan kualiti aset akan kekal menjadi faktor utama," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Firma itu menyemak semula pilihan sahamnya dalam sektor perbankan kepada Hong Leong Bank Bhd., Malayan Banking Bhd. (Maybank) dan AMMB Holdings Bhd.

 

Meninjau prestasi suku keempat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, 5 daripada 8 bank di bawah liputannya merekodkan prestasi melebihi jangkaan yang menyaksikan AMMB, Alliance Bank Malaysia Bhd. (ABMB) dan Affin Bank Bhd. mencatat untung bersih suku ke suku yang kukuh.

 

Peningkatan ABMB dan Affin didorong terutamanya oleh caj penjejasan yang lebih rendah manakala keuntungan AMMB dirangsang oleh pengiktirafan kredit cukai sebanyak MYR234.5 juta. Bagaimanapun, hanya BIMB Holdings Bhd. sahaja yang tersasar daripada jangkaan.

 

Secara meluas, RHB Research berkata, bank-bank menjangkakan pembiayaan akan berkembang 5 hingga 6% tahun ini, didorong permintaan pelanggan dan perniagaan.

 

"Pendapatan faedah bersih (NIM) dijangka stabil kepada rendah sedikit berikutan persaingan sengit untuk deposit dan jangkaan pertumbuhan akaun simpanan akaun semasa (CASA) yang sederhana.

 

"Hampir kebanyakan bank juga menjangkakan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) pada suku keempat dengan 25 mata asas, yang dilihat tidak memberi impak ketara kepada NIM pada 2022," jelasnya.

 

Menurutnya, pinjaman di bawah pemberian bantuan dijangka menurun apabila program Pemulih menghampiri penghujungnya. 

 

Bagaimanapun, firma itu mendapati, secara keseluruhan, bank menerima pendaftaran yang sangat sedikit untuk Program Pengurusan Kewangan & Ketahanan (URUS).

 

Mengenai impak daripada konflik Rusia-Ukraine pula, RHB Research berkata, andaian asasnya mendapati ia hanya berada di dalam sempadan Ukraine.

 

"Namun begitu, tekanan inflasi global akan menjadi lebih teruk berikutan kenaikan harga komoditi, dan memberi risiko pertumbuhan global yang perlahan. 

 

"Dalam hal ini, kami menjangkakan 3 kenaikan Kadar Dana Persekutuan (FFR) Amerika Syarikat (AS) sebanyak 25 mata asas pada 2022, manakala di Malaysia, menjangkakan 1 kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas pada separuh kedua 2022," katanya.

 

Pada masa sama, RHB Research juga percaya bank-bank mampu mengekalkan nisbah bayaran dividen bagi tahun kewangan 2021 (FY21) pada FY22 di sebalik pelaksanaan Cukai Makmur. -DagangNews.com