KUALA LUMPUR 17 Okt - RHB Research positif terhadap prospek perkembangan Power Root disokong pemulihan eksport yang lebih kukuh selain kedudukan yang lebih baik di dalam pasaran.
Firma itu berkata, kumpulan itu kembali mencatatkan pertambahan 68% dalam jualan eksport bagi 1QFY22 dan pengurusan melihat normaliasi penggunaan yang menggalakkan bagi pasaran Asia Barat dan Afrika Utara.
"Pemulihan itu mungkin disebabkan aktiviti ekonomi yang rancak di rantau ini berikutan kenaikan harga minyak dan pengguna menyesuaikan diri dengan cukai penggunaan yang lebih tinggi manakala Piala Dunia 2022 di Qatar merupakan satu lagi penggalak," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, kenaikan harga dengan cara yang agak agresif oleh pesaing utamanya telah meletakkan Power Root dalam kedudukan terbaik untuk menarik pengguna di bawah tekanan inflasi jurang harga semakin besar.
Katanya, dalam keadaan seperti itu, kumpulan itu memiliki ruang yang lebih untuk melepaskan kos mereka sekiranya perlu.
"Selepas mengambil kira faktor yang disebutkan, kemai menyemak naik unjuran pendapatan kumpulan bagi FY23-25 antara 9-12%," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) baharu, RM2.60 berbanding RM2.38 sesaham.
Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan beberapa risiko termasuk kenaikan harga komoditi dan pemulihan eksport yang lebih perlahan berbanding jangkaan. - DagangNews.com