KUALA LUMPUR 19 Ogos - RHB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap MGB Bhd. dengan harga sasaran dikurangkan kepada 67 sen daripada 75 sen sesaham sebelum ini berikutan prestasi kewangan separuh pertama yang kurang memuaskan.
Pada tempoh berkenaan, prestasi kumpulan tersasar daripada unjuran firma, terjejas akibat kadar cukai yang lebih tinggi.
Keuntungan teras kumpulan susut 50.2% tahun ke tahun kepada RM7.1 juta pada separuh pertama berakhir 30 Jun 2022 terutamanya disebabkan kadar cukai yang lebih tinggi daripada biasa sebanyak 93% pada suku kedua kerana perbelanjaan tertentu tidak dibenarkan untuk potongan cukai.
"Ini hanya merangkumi 22% daripada unjuran kami dan Street bagi tahunan penuh, jauh melepasi daripada jangkaan.
"Tetapi, selepas suku kedua, kumpulan memberi panduan, kadar cukai akan kembali normal," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada suku kedua, MGB mencatat untung bersih lebih rendah sebanyak RM477,000 berbanding RM4.3 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan meningkat kepada RM133.75 juta daripada RM126.5 juta.
Bagi separuh pertama, untung bersihnya berjumlah RM7.62 juta lebih rendah berbanding RM14.4 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan pendapatan meningkat kepada RM312.34 juta daripada RM294.09 juta.
Susulan itu, RHB Research mengurangkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak 43%, 27% dan 19%.
"Semakan ini mengambil kira purata kadar cukai yang lebih tinggi pada FY22 dan semakan semula garis masa pengiktirafan hasil agar lebih konservatif selepas kelewatan dalam beberapa pelancaran projek Idaman," katanya.
Namun, firma itu berpendapat, MGB akan terus mendapat manfaat daripada arahan pembinaan yang stabil meenrusi LBS Bina dan perancangan projek Idaman oleh kerajaan negeri Selangor yang mungkin menyokong pendapatan sehingga FY24.
Setakat 12.15 tengah hari ini, harga sahamnya kekal tidak berubah pada 55 sen dengan 8,500 saham diniagakan. - DagangNews.com