RHB Research unjur P.I.E. Industrial tidak berdepan masalah tenaga kerja tahun ini | DagangNews Skip to main content

RHB Research unjur P.I.E. Industrial tidak berdepan masalah tenaga kerja tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Mei - P.I.E. Industrial Berhad dijangka tidak berdepan masalah kekurangan tenaga pekerja pada tahun ini selepas berjaya memenuhi kuota yang diperlukan dalam memastikan operasi kumpulan itu berlangsung dengan baik.

 

RHB Research berkata, pada tahun lalu kumpulan itu berdepan masalah kekurangan tenaga kerja menyebabkan jumlah kerja lebih masa meningkat dan memberi impak kepada keseluruhan margin keuntungan.

 

"Kami menjangkakan margin keuntungan keseluruhan akan pulih pada tahun ini terutama selepas meraih tempahan yang konsisten daripada pelanggan N.

 

"Kumpulan itu juga sedang memasang panel solar untuk mengurangkan kesan kenaikan tarif elektrik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, walaupun terdapat kelembapan dalam permintaan produk akhir, pemain sektor perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) di Malaysia masih akan mendapat manfaat daripada perang perdagangan kerana penempatan semula kerja-kerja dari China adalah sangat besar untuk Malaysia.

 

Katanya, sokongan syarikat induk Foxconn, P.I.E akan menerima manfaat daripada perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China tanpa mengira saiz pasaran EMS.

 

Firma itu berkata, P.I.E sudah menerima tempahan daripada pelanggan N (melibatkan pembangunan konsol permainan video) untuk model baharunya dan menjangkakan pesanan konsisten daripada pelanggan sama tahun ini.

 

"Kami menjangkakan sumbangan barisan teratasnya daripada pelanggan N akan meningkat sebanyak 35%, manakala pelanggan lain terus berkembang dengan stabil pada 14%.

 

"Memandangkan peningkatan permintaan, kami memahami bahawa PIE hampir menggunakan sepnuhnya kapasiti semasa," katanya.

 

Firma itu menetapkan harga wajar (FV) RM4.42 sesaham. - DagangNews.com