RHB Research unjur prospek Press Metal tidak terjejas didorong keadaan pasaran yang stabil | DagangNews Skip to main content

RHB Research unjur prospek Press Metal tidak terjejas didorong keadaan pasaran yang stabil

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Julai - RHB Research mengunjurkan prospek Press Metal Berhad kekal utuh untuk jangka panjang berikutan kedudukan pasarannya yang menggalakkan dalam era baharu nyahkarbon.

 

Firma itu sebelum ini melawat kilang peleburan Press Metal Bintulu (PMB) di Taman Perindustrian Samalaju.

 

Katanya, PMB akan menerima manfaat daripada bekalan elektrik jangka panjang pada kadar yang menggalakkan melalui perjanjian pembelian tenaga dengan Sarawak Energy yang diperoleh daripada Empangan Bakun.

 

Berdasarkan kepada trend semasa harga komoditi, firma itu berkata, harga aluminium berada pada harga purata AS$2,990 (RM13,335) untuk setiap tan. 

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, penutupan ekonomi China menjadi antara perkara yang paling dibimbangkan kerana ia akan mengheret harga dalam tempoh terdekat.

 

"Keadaan itu boleh menyebabkan harga aluminium mencecah AS$2,850 (RM12,711) untuk setiap tan untuk FY22. 

 

"Permintaan untuk aluminium dijangka terus utuh dalam jangka panjang walaupun akan berlaku perubahan ke arah penggunaan tenaga boleh diperbaharui melalui panel solar dan kenderaan elektrik (EV)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu menyemak turun unjuran pendapatan bagi FY22 hingga FY24 (antara 3% hingga 14%) selepas mengambil kira harga bahan mentah terkini.

 

Semakan utama termasuk harga aluminium London Metal Exchange (LME) selain berhati-hati dengan persekitaran ekonomi tidak stabil.

 

Firma itu mengekalkan sasaran 'beli' pada harga sasaran RM7.53 sesaham. - DagangNews.com