RHB Research unjur Tan Chong Motor catat kerugian bagi FY23 akibat jualan lebih rendah | DagangNews Skip to main content

RHB Research unjur Tan Chong Motor catat kerugian bagi FY23 akibat jualan lebih rendah

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Julai - RHB Research mengunjurkan Tan Chong Motor Holdings Berhad mencatatkan kerugian pada FY23 didorong oleh jualan kereta yang lebih rendah selain kekurangan model baharu.

 

Firma itu percaya, kekurangan model kereta baharu akan terus mengurangkan keuntungan mereka selain mengurangkan penguasan kumpulan itu dalam pasaran kenderaan.

 

Firma itu juga menjangkakan, kadar inflasi yang tinggi akan memberi kesan kepada penjualan barangan besar seperti kereta selain kenaikan kadar faedah juga akan menyebabkan berlakunya kadar baharu untuk pinjaman pembelian kenderaan.

 

"Bank akan lebih berhati-hati untuk meluluskan sebarang pinjaman dan ia membuatkan kadar kelulusan lebih rendah berbanding sebelum ini.

 

"Kenaikan kos input selain ketiadaan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan menyebabkan berlakunya peningkatan harga kenderaan antara 8% hingga 20%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma mengurangkan unjuran jualan bagi FY23F daripada 25,000 unit kepada 17,000 unit dan FY24F daripada 23,000 unit kepada 18,500 unit.

 

Walaupun mencatatkan jualan yang rendah pada FY22, firma itu mengunjurkan keuntungan bersih sebanyak RM6 juta berbanding kerugian bersih RM43 juta selepas pihaknya melakukan pelarasan anggaran kos.

 

"Bagi FY23, kami menjangkakan kumpulan itu akan rugi bersih RM12 juta daripada untung bersih RM25 juta akibat penghasilan kenderaan yang rendah.

 

"Untuk FY24, kami mengurangkan unjuran keuntungan mereka kepada RM4 juta daripada RM28 juta kerana hasil yang rendah," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) 94 sen. - DagangNews.com