Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Jan - RHB Small Cap Asean Research telah menilai penyedia produk dan perkhidmatan industri yang akan disenaraikan tidak lama lagi Coraza Integrated Technology Bhd pada 54 sen.
Firma penyelidikan itu berkata, Coraza telah membuktikan dirinya sebagai pembekal alat ganti fabrikasi berkualiti.
RHB turut mengunjurkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun pendapatan tiga tahun (CAGR) sebanyak 24.5% untuk Coraza, terutamanya didorong oleh permintaan kukuh daripada industri pengguna akhirnya serta pengembangan kapasiti yang akan diselesaikan dalam tiga fasa.
"Kami menjangkakan peningkatan permintaan untuk cip akan menambah pendapatan pada masa hadapan, kerana dua pelanggan utama Coraza beroperasi dalam industri yang semakin berkembang, di samping bakal pelanggan baharu yang akan datang.
"Harga IPO Coraza sebanyak 28 sen membayangkan FY23F P/E hanya 9x, iaitu pada diskaun yang ketara kepada purata setaranya sebanyak 21x dan KLPRO 13x.
“Kami menganggap nilai saksama (FV) sebanyak 54 sen berdasarkan sasaran 18x FY23F P/E, memandangkan asas hasil, margin dan ROE yang lebih rendah," katanya.
BACA JUGA: Coraza sasar jana RM33 juta daripada IPO, bakal disenaraikan 20 Jan depan
Walau bagaimanapun, firma penganalisis itu tidak menolak kemungkinan penilaian yang lebih tinggi diberikan, sekiranya kumpulan itu mencapai pertumbuhan pendapatan yang lebih kukuh daripada jangkaan pada masa hadapan.
RHB berkata, berkata risiko utama ialah kebergantungan kumpulan itu kepada pelanggan utama dan pasukan teras jurutera, turun naik harga bahan mentah, dan gangguan dalam operasi akibat COVID-19.
Coraza dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE pada 20 Januari ini.
Syarikat itu merancang untuk menggunakan RM15.5 juta (47%) yang diperoleh daripada penawaran awam permulaan (IPO) itu bagi membeli mesin-mesin dalam tempoh 3 tahun bagi kilang sedia ada dan baharunya di Nibong Tebal, Pulau Pinang. -DagangNews.com