KUALA LUMPUR 17 Ogos - Affin Hwang Investment Bank menjangkakan margin keuntungan Rhone Ma Holdings Bhd. kekal ketat pada separuh kedua 2022 disebabkan kelemahan ringgit, tekanan inflasi dan kenaikan kos produk.
Firma itu mendapati keuntungan teras kumpulan pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 susut 22% suku ke suku kepada RM2.7 juta meskipun merekodkan pendapatan yang lebih tinggi pada suku berkenaan sebanyak RM46.8 juta.
Katanya, ia disebabkan kenaikan kos produk yang telah menjejaskan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kepada 11.8% (susut 1.5% bagi suku ke suku).
"Secara keseluruhan, prestasi kewangan Rhone Ma pada tempoh berkenaan adalah di bawah jangkaan kami dan juga pasaran dengan keuntungan teras bagi tempoh 6 bulan merangkumi 46 hingga 47% unjuran penuh pasaran dan kami ekoran margin keuntungan yang lebih lemah daripada jangkaan.
"Oleh itu, kami mengurangkan unjuran EPS bagi 2022 sebanyak 6% selepas mengambil kira anggaran margin EBITDA yang lebih rendah kepada 12.3% kerana pemampatan margin berlaku lebih awal daripada jangkaan kami," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada suku kedua, keuntungan bersih syarikat pengeluar nutrisi dan kesihatan haiwan itu meningkat kepada RM3.02 juta berbanding RM1.95 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Ini didorong oleh pendapatan yang lebih tinggi menerusi segmen peralatan dan produk kesihatan haiwan serta segmen bahan makanan.
Malah, pendapatan pada suku berkenaan juga meningkat kepada RM46.83 juta daripada RM38.83 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.
Bagi tempoh 6 bulan berakhir 30 Jun 2022, untung bersihnya meningkat kepada RM6.48 juta manakala pendapatan meningkat kepada RM93.05 juta.
Secara keseluruhan, Affin Hwang mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Rhone Ma dengan harga sasaran tidak berubah pada 75 sen.
Firma itu menyukai saham syarikat ini berikutan pasukan pengurusannya yang proaktif, portfolio produk yang luas, keupayaan R&D dalaman, mengembangkan kapasiti pembuatan dan prospek pendapatan yang positif.
"Bagaimanapun, di sebaliknya, kami melihat prospek pertumbuhan yang terhad dalam industri ayam dan khinzir matang di Malaysia, kami neutral dalam pengembangan perniagaan tenusu/pemprosesan susu dan perniagaan pengedarannya yang akan datang dengan risiko pembekal yang wujud," jelasnya.
Setakat 12.17 tengah hari ini, harga saham Rhon Ma menokok 1 sen atau 1.45% kepada 70 sen dengan 1,300 saham diniagakan. - DagangNews.com