KUALA LUMPUR 7 Sept. - Ringgit Malaysia berprestasi luar biasa selepas mendahului kadar mata wang negara Asia lain dan ketika ini pelabur sedang memerhati sama ada mata wang itu berjaya mengekalkannya sepanjang bulan ini.
Menurut Bloomberg, ringgit yang menunjukkan peningkatan selama tiga bulan mungkin terhenti susulan FTSE Russel masih lagi mempertimbangkan pengekalan bon ringgit dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI).
Dalam masa sama, ringgit juga bakal berdepan risiko yang lebih rendah sekiranya Bank Negara Malaysia (BNM) terus memotong kadar asas.
Pada 10 September ini, beberapa penganalisis termasuk dari Bloomberg menjangkakan BNM memotong 25 mata asas (bps) lagi.
“Ringgit yang mengukuh ketika ketidaktentuan politik mungkin didorong oleh keyakinan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memperuntukkan perbelanjaan untuk melonjakkan ekonomi negara yang merosot daripada parasnya ketika 1998.
“Sekiranya bon Malaysia dikeluarkan daripada indeks FTSE, aliran masuk hutang mula berkurangan, sekali gus menjadikan mata wang negara sebagai sumber sokongan utama.
“Seperti mata wang Asia lain, ringgit menerima manfaat daripada dolar yang lemah dan permintaan hutang tinggi dengan hasil yang lebih banyak. Ringgit melonjak sebanyak lebih 3% sejak Julai lalu, sekali gus mengungguli mata wang Asia lain,” jelas Bloomberg.
Ringgit dijangka cecah paras 4.05 pada penghujung tahun ini. Pada Jumaat lalu, ringgit mencatatkan pada kadar 4.1475.
“Tetapi apa yang bakal berlaku bergantung kepada keputusan FTSE pada 24 September ini. Goldman Sachs Group Inc. pada tahun lalu berkata aliran keluar Malaysia akan mencecah AS$6 bilion sekiranya ringgit jatuh,” tambah Bloomberg.
Dalam pada itu, penganalisis dari MUFG Bank Ltd. menjelaskan pelabur asing didapati terus membeli bon Malaysia terutamanya yang menawarkan hasil tinggi walaupun trend menunjukkan penurunan. - DagangNews.com