Ringgit dibuka lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Ringgit dibuka lebih tinggi

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 25 Nov. - Ringgit meneruskan momentum pengukuhan apabila dibuka tinggi pagi ini pada RM4.0820/0880 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). 

 

Semalam, mata wang itu ditutup RM4.0850/0880, kenaikan hari ketiga berturut-turut didorong oleh sentimen vaksin COVID-19 yang positif dan kenaikan harga minyak global. 

 

AmBank Research menjangkakan ringgit hari ini diniagakan pada paras sokongan antara RM4.0734 dan RM4.0785 manakala paras rintangan antara RM4.0915 dan RM4.0978. 

 

Katanya, ringgit semalam mengukuh 0.14% ketika ditutup dengan dagangan antara RM4.085 dan RM4.096. 

 

Indeks FBM KLCI pula susut 1.2% kepada 1,578.4 mata disebabkan peningkatan jangkitan COVID-19 yang mencatat kes tertinggi semalam sebanyak 2,188. 

 

"Aktiviti dagangan dalam pasaran bon tempatan terus melemah memandangkan pelabur masih menunggu apa yang yang berlaku hari ini terutama pengundian usul Belanjawan 2021 di Parlimen," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Menurut firma penyelidikan itu, dolar AS pula kembali jatuh selepas menokok 2 hari berturut-turut, susut 0.3% kepada 92.226, mencecah paras terendah 2 tahun setengah di sebalik peralihan jawatan Presiden AS kepada Joe Biden dan juga keyakinan terhadap vaksin.  

 

"Harga minyak bagaimanapun meneruskan peningkatan dengan Brent melonjak 3.91% kepada AS$47.86 setong manakala West Texas Intermediate juga naik 4.30% kepada AS$44.91 setong, paras tertinggi sejak Mac disokong oleh risiko global yang semakin meningkat," katanya. - DagangNews.com