Ringgit dibuka pagi ini tidak berubah | DagangNews Skip to main content

Ringgit dibuka pagi ini tidak berubah

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Ringgit dibuka pagi ini tidak berubah daripada penutupan semalam pada RM4.0490/0520 berbanding dolar AS. 

 

Rizab Persekutuan AS dalam mesyuarat terakhirnya bagi tahun ini semalam mengekalkan kadar faedah pada 0.00 hingga 0.25% seperti dijangkakan penganalisis. 

 

Ini menyaksikan dolar AS susut sedikit 0.03% kepada 90.450, berlegar-legar pada paras 2 tahun rendah, menurut AmBank Research. 

 

"Bagaimanapun, pendirian teguh Rizab Persekutuan AS itu adalah positif memandangkan ia mengambil kira kemajuan yang dicapai bagi pakej rangsangan fiskal dan juga perkembangan vaksin COVID-19," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Malah, badan antarabangsa itu turut mengemaskini unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini, dengan ekonomi dijangka menguncup pada 2.4% berbanding penguncupan 3.7% sebelum ini manakala 2021 mencatat pertumbuhan 4.2% (berbanding 4%). 

 

Rizab Persekutuan AS juga memberi petunjuk akan mengekalkan kadar faedah itu pada tahap sifar sehingga 2023.  

 

AmBank Research menjangkakan ringgit akan diniagakan pada paras sokongan antara RM4.0397 dan RM4.0446 manakala paras rintangan antara RM4.0564 dan RM4.0609.

 

Bagi pasaran minyak mentah, Brent menokok 0.63% kepada AS$51.08 setong manakala West Texas Intermediate meningkat 0.42% kepada AS$47.82 setong. 

 

"Kedua-dua harga minyak ini mencapai paras tertinggi dalam tempoh 9 bulan selepas Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) AS merekodkan pengurangan bekalan sebanyak 3.1 juta tong sehari bagi minggu berakhir 11 Disember lalu, berbanding penambahan inventori sehingga 15.2 juta tong sehari minggu sebelumnya," katanya. - DagangNews.com