Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS | DagangNews Skip to main content

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 22 Mac - Ringgit dibuka rendah pagi ini pada RM4.1130/1180 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila hasil bon AS terus mengukuhkan mata wang utama itu.

 

HLIB Research menjangkakan nilai dolar AS/ringgit akan kekal neutral sepanjang minggu ini manakala dolar AS dijangka terus mengukuh.

 

Bagaimanapun, ringgit diunjur berada dalam julat antara RM4.10 hingga RM4.14 berbanding dolar AS. 

 

"Ini memandangkan dolar AS akan kekal disokong oleh hasil bon AS yang tinggi apabila jualan perbendaharaan dijangka dilanjutkan sehingga minggu hadapan," katanya. 

 

Pada Jumaat, ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS kepada RM4.1050/1100 daripada RM4.1090/1140 ketika ditutup pada Khamis.

 

Ringgit meneruskan pengukuhan berikutan mata wang AS itu merosot susulan kebimbangan mengenai pulangan bon AS.

 

Pemulihan dolar AS terhenti sebagai maklum balas kepada hasil perbendaharaan AS terutamanya hasil AS 10 tahun ke paras 1.67% selepas melonjak tinggi ke paras 1.75% pada Khamis.

 

Sementara itu, dalam laporan aliran dana mingguan kewangan, MIDF Research berkata, di sebalik kenaikan dolar AS, ringgit mengukuh sedikit sekitar 0.2% kepada RM4.110 bagi minggu berakhir 19 Mac, berbanding RM4.119 minggu sebelumnya.

 

"Meskipun, ringgit melemah hingga diniakan pada RM4.12 berbanding dolar AS pada pertengahan minggu ekoran penurunan harga minyak mentah, tetapi ringgit berupaya untuk mengukuh semula pada akhir minggu berkenaan," katanya. 

 

Menurut firma itu, terdapat beberapa prospek ekonomi yang positif minggu lalu termasuk program vaksinasi COVID-19 dan pengumuman Pemerkasa bernilai RM20 bilion. - DagangNews.com