Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS | DagangNews Skip to main content

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 3 Mac - Ringgit mengukuh dalam dagangan pagi ini dibuka pada RM4.0510/4.0510 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di sebalik kelemahan mata wang utama itu dan penurunan harga minyak mentah global.

 

HLIB Research bagaimanapun masih mengekalkan pandangan neutral terhadap nilai dolar AS/ringgit dengan julat antara RM4.04 hingga RM4.07 minggu ini. 

 

"Kami menjangkakan indeks dolar AS akan mengukuh lagi sekitar 90.60 hingga 91.50 dengan sedikit lagi kenaikan hari ini.

 

"Dolar AS pada Selasa ditutup rendah 0.3% kepada 90.79 apabila hasil perbendaraan AS 10 tahun semakin menurun, jatuh 0.2 mata asas kepada 1.39%," katanya dalam nota kajian. 

 

Semalam, ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar AS untuk hari kedua berturut-turut dengan dolar AS mula mengukuh walaupun berdepan dengan selera risiko dalam pasaran ekuiti.

 

Ringgit menyusut kepada RM4.0570/0600 berbanding dolar AS daripada penutupan Isnin pada RM4.0550/0580.

 

Dalam masa sama, menurut HLIB, harga minyak juga terus diniagakan rendah menjelangnya mesyuarat OPEC+, Khamis ini. 

 

Brent mengakhiri dagangan pada paras AS$62.70 setelah susut 99 sen atau 1.6%, terendah sejak 12 Februari lalu.

 

Penanda aras global itu setakat ini merosot 7% setelah mencapai paras tertinggi 13 bulan minggu lalu, lapor Reuters

 

West Texas Intermediate (WTI) pula susut 89 sen atau 1.5% kepada AS$59.75 setong, terendah sejak 19 Februari dan ia merosot hampir 6% selepas mencapai paras tertinggi sejak Mei 2019. 

 

Mesyuarat OPEC+ akan membuat keputusan sama ada membenarkan sekurang-kurangnya 1.5 juta tong sehari kembali semula ke dalam pasaran. - DagangNews.com