Ringgit dijangka berlegar RM4.1465-RM4.1518 hari ini | DagangNews Skip to main content

Ringgit dijangka berlegar RM4.1465-RM4.1518 hari ini


 


KUALA LUMPUR 26 Okt. - Ringgit dijangka berlegar antara RM4.1465 dan RM4.1518 hari ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), menurut Ambank Research. 

Bagi paras rintangan pula, firma penyelidikan itu mengunjurkan ringgit pada paras RM4.1628 dan RM4.1693. 

"Perkembangan terbaharu (politik Malaysia) memberi sedikit kelegaan pada pasaran. Bagaimanapun, ketidaktentuan masih kekal ada," katanya dalam nota penyelidikan hari ini. 

Pagi ini, mata wang tempatan itu dibuka rendah pada RM4.1550/1600 berbanding Jumaat lalu, RM4.1500/1600 disebabkan kurang minat terhadap pembelian ekoran ketidaktentuan dalam perjanjian pakej rangsangan AS.

Di peringkat domestik pulam semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah tiada keperluan mengisytiharkan darurat di negara ini.

Dalam kenyataan Istana Negara itu, Al-Sultan Abdullah merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak COVID-19 ini dengan baik dan berkesan.  

Menurut Ambank Research, ringgit mengalami penyusutan sehingga 0.29% kepada RM4.157, paras terendah sejak 2 Oktober lalu manakala indeks KLCI pula jatuh 0.28% kepada 1,494.6 mata. 

"Berbanding mata wang utama yang lain, ringgit diniagakan rendah secara menyeluruh. Bagi mata wang euro, ia susut 0.26% kepada RM4.921 dan pound sterling pula susut 0.71% kepada RM5.442. 

"Bagi serantau pula, ringgit susut 0.34% berbanding dolar Singapura pada RM3.066," katanya. - DagangNews.com