Ringgit diniagakan berhati-hati menjelang FOMC | DagangNews Skip to main content

Ringgit diniagakan berhati-hati menjelang FOMC

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Mac - Ringgit diniagakan rendah pada RM4.1115/1165 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS. 

 

Bagaimanapun, HLIB Research mengekalkan jangkaan mengukuh bagi nilai dolar AS/ringgit walaupun ia diniagakan berhati-hati.

 

"Kami melihat ringgit akan terus meningkat sebelum melantun lebih tinggi. Pelabur kini memerhati dengan rapat mesyuarat FOMC terutama pendiriannya terhadap inflasi dan hasil bon. 

 

"Ini kemungkinan akan menyebabkan pergerakan lemah secara menyeluruh," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Dalam penutupan petang semalam, ringgit naik daripada penyusutan minggu lepas untuk ditutup tinggi berbanding dolar AS dalam keadaan kebimbangan yang meningkat menjelang mesyuarat FOMC minggu ini.

 

Ringgit ditutup pada RM4.1110/1160 berbanding dolar AS daripada 4.1160/1200 sewaktu ditutup pada Jumaat.

 

FOMC dijadual mengadakan pertemuan pada Selasa dan Rabu dengan jangkaan bahawa bank pusat AS akan menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) susulan pakej rangsangan fiskal bernilai AS$1.9 trilion.

 

Bagaimanapun, di sebalik unjuran ekonomi yang memberangsangkan, mesyuarat Rizab Persekutuan AS pada minggu ini dijangka tidak membabitkan perubahan dasar yang utama. - DagangNews.com