Ringgit diniagakan rendah pagi ini | DagangNews Skip to main content

Ringgit diniagakan rendah pagi ini

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Ringgit pagi ini memulakan dagangan rendah pada RM4.0900/0940 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). 

 

Semalam, mata wang tempatan itu ditutup pada RM4.0880/0930 ekoran harga minyak mentah yang stabil apabila keyakinan terhadap vaksin COVID-19 semakin meningkat. 

 

Menurut HLIB Research, dolar AS mungkin dilihat lebih kukuh hari ini setelah diperbaharui semalaman, dengan risiko penurunan dari neutral kepada kukuh.   

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan peningkatan dalam dolar AS/ringgit ini akan terbatas berdasarkan kepada sentimen keseluruhan yang akan mengekalkan sokongan kepada unit tempatan," katanya dalam nota kajian. 

 

Sementara itu, AmBank Research menjangkakan ringgit akan diniagakan pada paras sokongan antara RM4.0718 dan RM4.0820 manakala paras rintangan pada RM4.0983 dan RM4.1068. 

 

"Dolar AS memulakan minggu ini dengan kedudukan lebih kukuh, menokok 0.12% kepada 92.505, tertinggi dalam tempoh seminggu memandangkan para pelabur melihat jaminan dalam laporan perkembangan vaksin COVID-19 dan juga data ekonomi yang positif," katanya. 

 

Harga minyak Brent pula meningkat 2.45% kepada AS$46.06 setong manakala West Texas Intermediate naik 2.16% kepada AS$43.06 setong, paras tertinggi sejak 5 Mac lalu didorong oleh perkembangan vaksin COVID-19.

 

Dalam laporan Reuters, AstraZeneca berkata, vaksin COVID-19 yang dihasilkannya lebih murah, mudah untuk diagihkan dan lebih pantas untuk meningkat berbanding pesaingnya serta mempunyai keberkesanan sehingga 90% dalam mencecah wabak itu. 

 

Pengarah kumpulan yang membangunkan vaksin tersebut di Oxford University, Andrew Pollard menyifatkan, pihaknya mempunyai vaksin untuk seluruh dunia. - DagangNews.com