Ringgit diniagakan rendah pagi ini | DagangNews Skip to main content

Ringgit diniagakan rendah pagi ini

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 10 Dis. - Ringgit kembali menyusut dalam dagangan pagi ini apabila dibuka pada RM4.0655/0690 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). 

 

Semalam, mata wang tempatan itu ditutup pada RM4.0620/0660. 

 

AmBank Research menjangkakan ringgit hari ini akan diniagakan pada paras sokongan antara RM4.0507 dan RM4.0570 manakala paras rintangan antara RM4.0736 dan RM4.0811. 

 

"Ringgit semalam mengukuh 0.23% kepada RM4.063 berbanding dolar AS, tertinggi dalam tempoh 3  hari. Indeks FBM KLCI pula naik 0.91% kepada 1,646.5 mata ekoran kecenderungan pembelian beberapa saham perbankan. 

 

"Pasaran bon bagaimanapun agak suram tanpa adanya aliran baharu," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Dolar AS pula mengukuh untuk hari ketiga meningkat 0.13% kepada 91.087 dan mencapai paras tertinggi sejak 2 Disember apabila para pelabur terus memberi fokus kepada bantuan COVID-19 termasuk perkembangan vaksin. 

 

Menurut firma itu, harga minyak mentah semalaman diniagakan bercampur-campur dengan Brent naik 0.04% kepada AS$48.86 setong manakala West Texas Intermediate (WTI) jatuh 0.18% kepada AS$45.52 setong. 

 

"Keadaan ini berlaku selepas Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) melaporkan berlakunya peningkatan inventori minyak mentah sehingga 15.2 juta tong bagi minggu berakhir 4 Disember, berikutan pengurangan 700,000 tong minggu sebelumnya," katanya. 

 

Reuters melaporkan import bersih minyak mentah AS meningkat 2.7 juta tong sehari minggu lalu, peningkatan terbesar setakat ini memandangkan eksport menguncup. 

 

Bagaimanapun, suntikan vaksin secara meluas di United Kingdom dan prospek Pentadbiran Ubat-ubatan dan Makanan AS meluluskan vaksin itu di AS akan mendorong pasaran terus meningkat. - DagangNews.com