Ringgit lemah berbanding dolar AS | DagangNews Skip to main content

Ringgit lemah berbanding dolar AS

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 


KUALA LUMPUR 12 Mac - Ringgit dibuka sedikit rendah pagi ini pada RM4.1070/1150 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) setelah mengukuh dalam penutupan semalam ekoran kelemahan mata wang utama itu. 

 

Mata wang tempatan itu semalam mengakhiri dagangan pada RM4.1050/1100 berbanding dolar AS.

 

Menurut HLIB Research, data indeks harga pengguna (CPI) telah mengembalikan semula ketenangan dalam pasaran di samping lengkug hasil perbendaharan AS yang stabil. 

 

Katanya, indeks dolar AS mencatatkan penurunan 3 hari berturut-turut dan jatuh di bawah 91.50 apabila permintaan aset berisiko meningkat pada Khamis, menjejaskan mata wang utama itu.

 

"Kami melihat dolar AS/ringgit akan diniagakan neutral dan lemah dalam dagangan hari ini dan menjangkakan pergerakan menurun dalam julat antara RM4.08 hingga RM4.13. 

 

"Ini memandangkan dolar AS ditarik semula semalaman, berhati-hati menuju hujung minggu yang mungkin membataskan penurunan," katanya dalam nota kajian.

 

Semalam, ringgit ditutup tinggi sebanyak 200 mata asas (bps) berbanding dolar AS mengekalkan kenaikan sebelumnya berikutan minat belian yang berterusan terhadap unit tempatan susulan daripada harga minyak yang stabil. 

 

Lapor Reuters, harga minyak naik lebih daripada 2% pada Khamis disebabkan kelemahan dolar AS dan jangkaan lebihan minyak mentah akan bertahan lama apabila stok bahan api AS jatuh dan kilang penapisan di Texas beroperasi semula. 

 

Ia menyaksikan niaga hadapan Brent pada Mei meningkat 2.6% kepada AS$69.63 setong manakala West Texas Intermediate bagi April naik 2.5% kepada AS$66.02 setong. - DagangNews.com